WARGA asing dan bot nelayan yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor.
WARGA asing dan bot nelayan yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor.
Ruwaida Md Zain

KIAN ramai pemilik bot dan nelayan tempatan dikesan menggaji pekerja warga asing tanpa izin untuk menangkap ikan di laut.

Terbaru tiga bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor di perairan negeri ini Khamis lalu.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, ketiga-tiga bot ditahan di tiga lokasi dan waktu berbeza di sekitar perairan Selangor.

"Dalam tangkapan pertama, seorang tekong lelaki warga tempatan serta dua awak-awak warga Indonesia ditahan bersama bot nelayan tempatan Kelas A.

“Pemilik bot melakukan kesalahan menggaji warga asing tanpa izin dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di kedudukan 0.8 batu nautika barat laut Muara Sungai Tambak Jawa Besar kira-kira jam 1.00 petang.

"Sementara itu, tangkapan kedua pula dilakukan terhadap seorang tekong di kedudukan 0.9 batu nautika selatan Muara Sungai Besar, kira-kira jam 6.10 petang kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan," katanya.

Mohammad Rosli berkata, sebaik bot Maritim Malaysia mengiringi balik kedua-dua bot ditahan ke Jeti PPM, Pulau Indah, sebuah lagi bot nelayan Kelas B1 ditahan untuk pemeriksaan rutin.

"Hasil dari pemeriksaan mendapati, seramai empat lelaki termasuk tekong berada di atas bot itu.

"Tekong dan seorang awak-awak dipercayai warga tempatan manakala dua lagi awak-awak warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berumur lingkungan 22 hingga 56 tahun diiringi ke Jeti PPM, Pulau Indah untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:10 PM