LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kemalangan menyebabkan suami isteri yang menunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kereta.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kemalangan menyebabkan suami isteri yang menunggang motosikal maut selepas bertembung dengan kereta.
Rosli Ilham


“PATUTLAH hari ini saya sangat merindui kakak...rupanya itu petanda dia akan pergi menghadap Ilahi,” kata Nur Azura Mustafa, 33, selepas kakak tirinya maut dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Mak Lagam-Cheneh, dekat Bandar Cheneh, Chukai, hari ini.

Kakak tirinya itu, Siti Minah Ali, 46 dan suaminya, Sohaini@Mustajib Mohd, 47, maut selepas terbabit dalam kemalangan pada 11. 15 pagi.

Ketika kejadian, suami isteri terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Felda Cerul untuk melawat anak perempuan mereka yang tinggal di Kampung Paya Berenjut.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal Honda Dash ditunggangi mereka dikatakan bertembung dengan kereta Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.

Pertembungan kuat itu, menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak sejauh beberapa meter dan meninggal di tempat kejadian.

Nur Azura berkata, kali terakhir dia menemui kakaknya itu pada Aidiladha lalu dan kakak serta abang iparnya itu tidak menunjukkan sebarang perbuatan pelik.

“Pagi tadi, saya tiba-tiba teringatkan kakak dan tidak tahu kenapa tiba-tiba perasaan rindu itu datang.

“Saya pada mulanya hendak menghubunginya, namun terlupa dan tidak lama selepas itu saya menerima panggilan daripada anak saudara memberitahu kakak kemalangan.

“Saya ingat kemalangan kecil dan mengambil sedikit masa untuk melawatnya di Hospital Kemaman, tetapi apabila sampai di hospital baru saya tahu dia dan suaminya meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superitendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kejadian berlaku laluan berselekoh dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai perubatan dari klinik kesihatan berhampiran.

“Pemandu kereta terbabit yang berusia 44 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun hanya cedera ringan.

“Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut manakala dua beranak yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

'Suami isteri maut dalam nahas’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 9:33 PM