KERETA dinaiki tiga beranak terbalik selepas dilanggar dari arah belakang di KM291.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan polis
KERETA dinaiki tiga beranak terbalik selepas dilanggar dari arah belakang di KM291.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan polis
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: Bayi lelaki selamat biarpun tercampak keluar daripada kenderaan apabila kereta dinaikinya bersama ibu bapanya dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah belakang di Kilometer 291.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi.

Bayi berusia dua tahun itu selamat dan tidak mengalami kecederaan fizikal namun kemalangan terbabit mengorbankan ibunya, Norfadilah Ismail, 34, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Perodua Myvi yang dipandu oleh bapa kanak-kanak itu berusia 36 tahun.

Difahamkan, bayi berkenaan tercampak keluar apabila kereta dinaiki tiga beranak itu dilanggar kemudiannya menyusur keluar dari jalan raya berturap sebelum terbalik.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian jam 8.10 pagi itu membabitkan Perodua Myvi dinaiki tiga beranak yang dilanggar dari belakang oleh sebuah lagi Perodua Myvi yang dipandu lelaki berkhidmat sebagai anggota tentera.

"Punca kemalangan akibat Perodua Myvi yang dipandu anggota tentera berusia 22 tahun itu melanggar Perodua Myvi dinaiki tiga beranak berkenaan dari arah belakang.

"Benar (bayi tercampak keluar dari kenderaan) dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan, namun setakat ini belum ada sebarang kecederaan serius dimaklumkan yang dialami bayi itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Nazri berkata, mayat ibu bayi yang juga suri rumah akan menjalani proses bedah siasat hari ini di Hospital Kampar.

Menurutnya, Perodua Myvi yang melanggar kereta dinaiki tiga beranak itu kesemuanya dinaiki oleh empat anggota tentera berusia antara 20 hingga 22 tahun.

Mohamad Nazri berkata, selain mangsa maut, kesemua yang terbabit dalam nahas itu meliputi bayi, bapanya, serta empat anggota tentera tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 2:50 PM