Audrey Dermawan


‘BEACH boy' warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau atas dakwaan menggunakan kekerasan bagi mencabul kehormatan pelancong Qatar bulan lalu.

Kes bagaimanapun ditunda ke 15 Ogos ini bagi melantik jurubahasa bagi membacakan kertas pertuduhan ke atas tertuduh yang juga pemilik kad pelarian UNHCR Sayed Salam Abu Bakar Sidek, 31.

Dalam pertuduhan hari ini, jurubahasa mahkamah membaca kertas pertuduhan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan ke atas Sayed yang didakwa melakukan kesalahan berkenaan ke atas Lolo Fadel Ibrahim Ashour.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Monkey Beach, Teluk Bahang, 3.30 petang 30 Julai 2018.

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada Sayed yang tidak diwakili peguam itu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Mawan dan mahkamah menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sayed tidak dibenarkan ikat jamin dan akan direman sehingga tarikh sebutan semula kes dan hadir sama ialah isteri tertuduh.

Sabtu lalu, polis menahan tiga lelaki di Monkey Beach kerana didakwa cuba mencabul pelancong dari Qatar Isnin minggu lalu.

Suspek terdiri daripada dua warga Rohingya berusia 31 dan 28, serta seorang lelaki Bangladesh berusia 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Ambalagan berkata, pelancong yang juga penuntut perempuan berusia 19 tahun bersama keluarganya itu sedang makan di kedai makan di situ sebelum berjalan berseorang ke arah pantai untuk mengambil foto.

Perempuan berkenaan kemudian bertanya kepada dua suspek lelaki yang bekerja sebagai ‘beach boy’ di situ tentang khidmat menunggang kuda.

Seorang daripada suspek memberitahu mangsa bahawa terdapat perkhidmatan menunggang kuda di situ sebelum membawa pelancong berkenaan ke trek hutan berdekatan pantai.

Sebaik tiba di kawasan hutan, suspek mula bertindak ganas dengan memegang tangan dan menarik mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Lelaki itu kemudian membuka seluarnya sebelum menarik seluar mangsa sehingga ke paras lutut dan cuba memasukkan kemaluannya namun gagal.

Suspek kemudian melarikan diri manakala suspek lain tidak melarikan diri.

Polis masih menunggu rekod bagi seorang lagi warga Bangladesh dan Rohingya yang juga suspek pihak pendakwaan.

Mangsa pula sudah pulang ke Qatar Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:35 PM
ANGGOTA polis mengiringi Syed Salam Abu Bakar Sidik, 31, untuk dituduh atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan mahu mencabul kehormatan wanita semasa dibawa ke Mahkamah Majistret, Balik Pulau. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
ANGGOTA polis mengiringi Syed Salam Abu Bakar Sidik, 31, untuk dituduh atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan mahu mencabul kehormatan wanita semasa dibawa ke Mahkamah Majistret, Balik Pulau. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal