Audrey Dermawan


George Town: Seorang penjual kuih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dakwaan menyebabkan kematian seorang anggota polis dalam kejadian 17 April lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Arafat Taufik, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Ketika ditanya sama ada dia faham atas pertuduhan dibacakan, tertuduh yang kelihatan tenang berkata faham.

Mohd Arafat didakwa membunuh Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, dengan cara memandu secara bahaya iaitu menghimpit motosikal mangsa dan menyebabkan dia jatuh lalu menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Utama di sini, antara 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 April lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula bagi membolehkan pihaknya mendapatkan beberapa dokumen.

MOHD Arafat Taufik dibawa ke Mahkamah Majistret George Town. FOTO MIKAIL ONG
MOHD Arafat Taufik dibawa ke Mahkamah Majistret George Town. FOTO MIKAIL ONG

Sementara itu tertuduh yang diwakili peguam G Shanmugam memohon kepada mahkamah untuk membenarkan anak guamnya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan berikutan mengalami kecederaan.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula dan membenarkan permohonan Shanmugam.

Sementara itu Shanmugam ketika ditemui di luar mahkamah berkata anak guamnya mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan tangan selepas terjatuh dari motosikal dalam kejadian kemalangan itu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 11:52 AM