JOHAN Ariff (tiga dari kanan) bersama penduduk di Sembalunlawang, Lombok Timur dalam Misi Bantuan Bencana MAPIM, semalam. FOTO ihsan I-Reach MAPIM.
JOHAN Ariff (tiga dari kanan) bersama penduduk di Sembalunlawang, Lombok Timur dalam Misi Bantuan Bencana MAPIM, semalam. FOTO ihsan I-Reach MAPIM.
Yusmizal Dolah Aling


GEGARAN susulan dirasakan di Lombok, Indonesia tidak mematahkan semangat aktivis I-Reach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk terus menyalurkan bantuan di kawasan terjejas.

Pengarahnya Johan Ariff Ismail berkata, ketika ini kawasan bantuan tertumpu di daerah Sembalunlawang, yang terputus bekalan air dan elektrik selepas dilanda gempa bumi pada 29 Julai lalu.

Beliau berkata, berdasarkan carian fakta di lokasi, pihaknya dengan bantuan rakan gabungan MAPIM menyediakan tangki air untuk kegunaan penduduk di pusat transit sementara menunggu bantuan lain sampai.

“Masih terasa gegaran susulan di Lombok, namun keadaan terkawal dengan pihak berkuasa mengarahkan penduduk ke pusat pemindahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“MAPIM dalam misi selama lima hari di Lombok dan kami akan membantu menerusi dana rakyat Malaysia yang simpati dengan bencana ini.

“Setakat ini, bantuan kemanusiaan dari luar sudah mula masuk dan tertumpu di kawasan berdekatan Gunung Rinjani,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Johan Ariff berkata, tangki berkenaan yang boleh memuatkan 1100 liter air akan ditempatkan di pusat transit untuk kegunaan mangsa kerana bekalan air bersih begitu kritikal pada masa ini.

Beliau berkata, MAPIM mengaktifkan bantuan selimut kepada mangsa gempa bumi kerana cuaca sejuk iaitu sekitar 12 darjah Selsius pada waktu malam.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Facebook I-Reach MAPIM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 12:19 AM