PELARIAN berebut  mendapatkan pisang  disumbangkan masyarakat antarabangsa.
PELARIAN berebut mendapatkan pisang disumbangkan masyarakat antarabangsa.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Berteduh di bawah timbunan daun dan plastik sampah. Situasi membabitkan pelarian Rohingya itu dapat dilihat di sepanjang tepi jalan berhampiran sempadan di Sungai Naf, Bangladesh dan jumlah mereka bertambah setiap hari.

Semalam, 1,000 pelarian Rohingya dilaporkan sudah berada di sekitar kem Balukhali dan beberapa kawasan berhampiran Cox’s Bazar dengan ratusan kanak-kanak berada di tepi jalan menunggu bantuan makanan.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Fayazee, Mohamed Idris berkata, selepas berada di ‘tanah tak bertuan’ di Teknaf tiga hari lalu, ramai pelarian berpusu-pusu masuk untuk menyelamatkan diri dan mendapatkan makanan selepas terkandas di pintu sempadan lebih seminggu lalu.

“Ada yang membawa anak kecil untuk masuk menyebabkan kawasan yang sebelum ini sunyi sepi, bertukar riuh dengan tangisan dan sorakan pelarian yang meminta makanan akibat kelaparan.

“Pada masa ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bangladesh bekerjasama dengan rakan-rakan gabungan antarabangsa seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk mengedarkan bantuan segera kerana keperluan begitu mendesak,” katanya kepada Harian Metro.

Mohamed Idris berkata, keadaan itu menyebabkan kawasan sempadan menjadi tumpuan masyarakat dunia kerana ia satu-satunya lokasi selamat untuk pelarian meneruskan hidup.

Sebelum ni, katanya, disebabkan terlalu terdesak, ada pelarian maut akibat lemas ketika menyeberang sungai untuk ke sempadan Bangladesh.

“Selepas itu ada yang menggunakan laluan hutan dan bukit untuk sampai ke zon tidak bertuan, bagaimanapun, akibat terlalu ramai, kawasan itu juga dikawal pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu Pengarah I-Reach MAPIM Johan Ariff Ismail berkata, pihaknya melancarkan kempen pek makanan RM65 untuk membantu pelarian yang baru tiba di Bangladesh.

“Kita sudah pun gerakkan bantuan menerusi rakan gabungan di sana dan mengalu-alukan orang ramai yang ingin membantu menerusi akaun 553038585368 Maybank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 5:14 AM