ULAR sawa berbelit pada bahagian siling kediaman pengadu selepas menelan badan kucing peliharaannya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong, Bintulu, semalam. FOTO Erika George.
ULAR sawa berbelit pada bahagian siling kediaman pengadu selepas menelan badan kucing peliharaannya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong, Bintulu, semalam. FOTO Erika George.
Erika George


LULUH hati seorang penghuni rumah di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong, Bintulu sebaik menyedari kucing kesayangannya ditelan seekor ular sawa yang bersembunyi di bahagian bumbung rumahnya dalam kejadian 12 tengah hari semalam.

Sumber memberitahu NSTP, ketika kejadian, penghuni terbabit sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar bunyi bising luar biasa dari kucing peliharaannya di bahagian hadapan rumah.

“Sebaik memeriksa, lelaki itu terkejut apabila mendapati seekor ular sawa batik sedang membaham kucing peliharaannya, dengan separuh badannya sudah berada dalam mulut reptilia itu.

“Difahamkan, lelaki terbabit cuba menyelamatkan kucing berkenaan, namun bimbangkan keselamatannya kerana ular terbabit agak agresif.

“Berikutan itu, dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bintulu bagi meminta bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi APM Bintulu, Lans Koperal Halim Raini, berkata bertindak atas maklumat berkenaan, tiga anggota dikejarkan ke lokasi bagi menyalurkan bantuan dan menjalankan operasi menangkap reptilia terbabit.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, ular sawa itu didapati cuba bersembunyi di bahagian siling rumah berkenaan.

“Anggota APM menggunakan alat penjerut dan penyepit untuk menangkap ular sawa itu dan operasi berjaya diselesaikan dalam tempoh setengah jam.

“Sejurus ditangkap, ular sawa itu dimasukkan ke dalam kantung khas sebelum dilepaskan ke habitat asalnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 12:50 PM