ULAR sawa yang ditangkap di sebuah kampung di Menumbok, dekat Beaufort, hari ini. FOTO Ihsan APM
ULAR sawa yang ditangkap di sebuah kampung di Menumbok, dekat Beaufort, hari ini. FOTO Ihsan APM
Razik Zayad


SURI rumah panik apabila melihat seekor ular sawa membaham anak kucing peliharaannya dalam kejadian di sebuah kampung, dekat Beaufort, hari ini.

Nurimah Nasiril, 31, berkata, sebelum kejadian 7.20 pagi itu, dia pergi ke reban ayam yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Wanita itu berkata, ketika dalam perjalanan, dia melihat ular sawa berhampiran reban ayam berkenaan.

"Saya terkejut apabila mendapati ular itu sudah membaham seekor anak kucing.

"Panik dengan kejadian itu, saya segera memaklumkan insiden berkenaan kepada ahli keluarga yang kemudian menghubungi talian kecemasan 999 ," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Mohd Mayroof Koibil berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7.29 pagi, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan bantuan kecemasan.

"Sebaik tiba di lokasi pada 7.46 pagi tadi, kita dapati reptilia itu berlingkar berhampiran reban ayam berhampiran rumah pengadu.

"Kita terus melakukan operasi menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.

"Anggota kemudian berjaya menangkap reptilia itu kira-kira 10 minit kemudian," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bahawa ular sawa itu sepanjang empat meter dengan berat 20 kilogram.

"Selepas ditangkap, haiwan itu dibawa pulang ke pejabat APM Beaufort untuk tindakan lanjut," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 8:30 PM