Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor menangkap ular sawa di dalam sangkar kucing di sebuah rumah di Batu 3, awal pagi hari ini. FOTO IHSAN APM KUALA SELANGOR
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor menangkap ular sawa di dalam sangkar kucing di sebuah rumah di Batu 3, awal pagi hari ini. FOTO IHSAN APM KUALA SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penghuni sebuah rumah di Batu 3 di sini, terkejut apabila mendapati seekor ular sawa dewasa berjaya menyusup masuk ke dalam sangkar kucing peliharaan mereka.

Bagaimanapun kucing di dalam sangkar berkenaan bernasib baik berikutan ular sawa berkenaan masih belum sempat menelannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam, reptilia seberat 15 kilogram itu dilihat berada di bahagian bawah sangkar manakala kucing berkenaan cuba menyelamatkan diri dengan berada di tingkat atas sangkar.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota APM kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, kami mendapati ular sawa sepanjang lima meter itu masih berada di dalam sangkar kucing di luar rumah berkenaan.

"Anggota APM mengambil langkah berwaspada bagi mengelak reptilia itu bertindak agresif dan melarikan diri," katanya.

Menurutnya, anggota APM mengambil masa 12 minit untuk menangkap ular itu menggunakan peralatan khas.

"Kucing keluarga itu berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

"Ular sawa berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:08 PM