SEEKOR ular sawa sepanjang 6.4 meter berjaya  ditangkap  di hadapan sebuah bengkel di Kampung Padang oleh anggota APM Kuantan. FOTO IHSAN APM KUANTAN
SEEKOR ular sawa sepanjang 6.4 meter berjaya ditangkap di hadapan sebuah bengkel di Kampung Padang oleh anggota APM Kuantan. FOTO IHSAN APM KUANTAN
Roselan Ab Malek


Kuantan: Misteri kehilangan lima ekor kucing sebelum ini terjawab apabila seekor ular sawa sepanjang 6.4 meter ditangkap di hadapan sebuah bengkel di Kampung Padang, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, reptilia seberat 50 kilogram itu ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan selepas menerima aduan.

Pemilik bengkel, Ku Azahari Ku Ibrahim, 49, berkata sebelum ini lima kucing peliharaannya hilang tanpa dikesan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, ini adalah kejadian kedua ular sawa ditemui di kawasan rumahnya, namun reptilia yang pertama lebih besar berbanding ular yang ditangkap, semalam.

"Ketika kejadian saya mahu menjenguk ke bengkel yang terletak bersebelahan rumah, namun terkejut apabila ternampak ular itu sedang melingkar di hadapan bengkel mungkin kekenyangan, " katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan APM Kuantan, Sarjan Syahid Ansori berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.45 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap reptilia itu menggunakan penjerut sebelum dilepaskan di tempat yang selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 5:50 PM