Ifwan Tun Tuah

Seremban: Kerajaan Australia menggantung eksport ternakan kambing dan biri-biri ke Malaysia selama enam minggu ketika umat Islam di negara ini membuat persediaan menyambut Aidiladha.

Dalam satu notis yang dimuat naik di laman web Jabatan Pertanian dan Sumber Air negara itu, tarikh penggantungan semua aktiviti eksport yang ditetapkan adalah dari 7 Julai lalu sehingga 25 Ogos ini.

Pengarah Cawangan Pengeksportan Haiwan Hidup, Bahagian Pengeksportan jabatan berkenaan, Erin Payne dalam notis bertarikh 3 Julai lalu berkata, eksport ternakan terbabit disambung semula seperti biasa bermula 26 Ogos depan.

“Selepas Aidiladha tahun lalu, jabatan ini menerima banyak laporan mengenai tahap kebajikan haiwan yang rendah selain ternakan yang dieksport ke Malaysia tidak dapat dikawal dan dikesan.

“Majlis Pengeksport Ternakan Australia (ALEC) memaklumkan ahlinya bersetuju tidak mengeksport biri-biri dan kambing ke Malaysia menjelang Aidiladha kali ini berikutan kebimbangan Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (ESCAS) tidak dipatuhi.

“Penggantungan itu ditetapkan selepas jabatan mempertimbangkan maklumat diterima termasuk risiko peningkatan ketidakpatuhan ketika aktiviti korban, kekurangan maklum balas daripada pengeksport susulan pelanggaran ESCAS tahun lalu dan bukti sistem kawalan pengeksport dan pengesanan ternakan kurang berkesan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Zul Edham Wagiman berkata, pihaknya dimaklumkan oleh ibu pejabat selain kambing dan biri-biri, pengeksportan lembu ke Malaysia turut dibekukan Australia.

“Ibu pejabat sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk menampung permintaan sepanjang tempoh itu termasuk memberi kebenaran pembekal tempatan mengimport lebih banyak lembu, kambing dan biri-biri dari negara sumber lain terutama Thailand.

“Beberapa kelonggaran turut diberi untuk membawa masuk ternakan bagi tujuan sembelihan itu, termasuk mengecualikan ujian saringan darah dan suntikan vaksin yang diwajibkan jika haiwan itu untuk dibela atau dijadikan baka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:56 AM