ANTARA biri-biri dan kambing yang dirampas. FOTO  Ihsan Polis
ANTARA biri-biri dan kambing yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Tindakan dua lelaki yang menyeludup 85 biri-biri dan lapan kambing tumpas apabila mereka ditahan polis di Taman Tengku Anis, Lubok Jong di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan 12.55 tengah malam itu, dua lelaki iaitu pemandu lori berusia 24 dan kelindan berumur 20 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam operasi itu, pihaknya merampas 85 biri-biri dan lapan kambing serta sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan, lebih RM100,000.

Katanya, sebelum serbuan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas membuat rondaan di Jalan Repek - Lubok Jong dan terserempak dengan sebuah lori berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kemudian mengekori dan menahan lori itu di tepi jalan Taman Tengku Anis dan pemeriksaan di belakang lori menemukan 85 biri-biri dan lapan kambing yang bernilai RM63,100.

"Pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen permit pemindahan haiwan ternakan dan haiwan itu disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal, mereka mengaku terbabit dengan penyeludupan biri-biri dan kambing dari Thailand.

Ia diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis.

"Siasatan juga mendapati haiwan itu dimiliki oleh seorang lelaki. Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 10:06 AM