SEBANYAK 500 kambing biri-biri mati di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia. FOTO Jnews
SEBANYAK 500 kambing biri-biri mati di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia. FOTO Jnews
Agensi

Washington: Media Georgia, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menyiarkan rakaman video menunjukkan lebih 500 kambing biri-biri ditemukan mati akibat dipanah petir.

Oddity Central melaporkan, insiden itu berlaku ketika kumpulan kambing berkenaan meragut rumput di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia.

Pemilik kambing biri-biri, Nikolay Levanov dari kampung Tambovka, menerima panggilan telefon menyedihkan daripada penjaga pada 9 Ogos lalu mengenai kematian lebih seratus haiwan ternakannya.

Tanpa Levanov ketahui, 400 kambing biri-biri lagi turut mati dipanah petir dan penjaganya bernasib baik kerana tidak maut dalam kejadian itu.

Rakaman video yang tular di tempat kejadian menunjukkan ratusan bangkai kambing biri-biri bergelimpangan di padang rumput.

Berikutan insiden itu Levanov dan pemilik kambing biri-biri lain meminta bantuan kewangan pihak berkuasa Georgia untuk mengurangkan beban kerugian mereka.

Bagaimanapun, pihak berkuasa harus menentukan punca sebenar kematian kambing biri-biri itu.

"Sejujurnya, ini kes pertama. Kami belum mendengar bahawa ribut petir boleh membunuh begitu banyak kambing biri-biri.

"Sudah tentu, pejabat datuk bandar memberikan sokongan, tetapi pertama, pemilik haiwan itu mesti menyampaikan pendapat pakar untuk menentukan secara tepat penyebab kematian ternakan mereka," kata wakil datuk bandar Ninotsminda, Alexander Mikeladze.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 7:01 AM