Mohd Sharif menerima sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam di Taman Desa Harmoni di sini hari ini.
Mohd Sharif menerima sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam di Taman Desa Harmoni di sini hari ini.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Sumbangan ini amat bermakna kerana kami kehabisan simpanan kecemasan dan baru-baru ini terpaksa menjual motosikal kesayangan bagi menampung kos perubatan," kata pesakit barah paru-paru tahap empat, Mohd Sharif Omar.

Penjual mi berusia 55 tahun itu berkata, dia amat bersyukur dengan sejumlah sumbangan daripada pembaca Harian Metro dan bercadang untuk menggunakannya bagi menampung kos perkhidmatan ambulans bagi berulang-alik ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menurutnya, keluarganya perlu membayar kos RM400 untuk menggunakan ambulans setiap kali berulang-alik ke hospital.

Katanya, bagaimanapun keluarganya tiada pilihan atas faktor kesihatannya yang agak merosot sejak kebelakangan ini.

"Saya mungkin perlu menjalani rawatan kemoterapi tidak lama lagi selain radioterapi hingga perlu lebih kerap ke hospital dengan ambulans.

"Kami memang terpaksa berjimat bagi mengurus keperluan saya selain terpaksa menjual motosikal kesayangan jenis RXZ berusia lebih 30 tahun yang sebelum ini digunakan saya ketika berkonvoi bersama rakan-rakan.

"Kami tidak menjangka ada yang membantu meringankan beban kami selain memberi kata-kata semangat supaya saya cekal dan tabah menghadapi ujian Allah ini.

"Hanya Allah dapat membalas segala jasa dan keprihatinan ramai," katanya.

Mohd Sharif berkata demikian ketika menerima sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam di kediaman sewanya di Taman Desa Harmoni di sini, hari ini.

Mas Imran berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada keluarga berkenaan.

"Diharap sumbangan berkenaan dapat digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Pada 2 Jun lalu, akhbar ini mendedahkan kisah Mohd Sharif yang tidak menjangka

simptom sakit kaki kiri dialaminya selama beberapa bulan adalah petanda menghidapi kanser paru-paru tahap empat.

Pada awalnya, doktor menjangka dia mengalami osteoporosis sebelum didiagnos kanser pada Mei tahun lalu.

Dia juga kehilangan punca pendapatan iaitu kira-kira RM2,000 sebulan apabila terpaksa berhenti berniaga dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM500 sebulan.

Selain itu dia juga bergantung kepada dua jenis mesin oksigen termasuk elektrik dan tong oksigen mudah alih yang menelan kos pengisian semula kira-kira RM70 yang hanya mampu bertahan selama sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 2:39 PM