Mohd Husni Mohd Noor


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa pelepasan pembekuan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disebabkan ia tiada kaitan dengan siasatan SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, SPRM memaklumkan tindakan melepaskan pembekuan akaun tersebut bukan dilakukan atas desakan mana-mana pihak tetapi disebabkan siasatan terhadap akaun itu sudah selesai dilaksanakan.

“Kami mendapati terdapat beberapa kekeliruan fakta yang dilaporkan oleh segelintir pihak menerusi media," katanya.

Berhubung dakwaan SPRM mengadakan publisiti besar-besaran mengenai pembekuan akaun Najib dan menyepi apabila pembekuan akaun ditarik balik, SPRM ingin menegaskan bahawa isu tersebut tidak timbul kerana suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun.

Malah, SPRM hanya mengesahkan pelepasan akaun tersebut apabila persoalan itu ditimbulkan oleh pihak media.

Dalam pada itu, katanya, terdapat juga akaun bank lain Najib yang juga terbabit dengan SRC International dan 1MDB (RM2.6 bilion) tidak dibekukan kerana akaun tersebut sudah ditutup sebelum siasatan SRC International dan 1MDB bermula pada Julai 2015.

“Ini bermakna, pembekuan akaun bank Najib berkaitan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan sudah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan," katanya.

Katanya, SPRM ingin menegaskan bahawa sehingga kini, siasatan berhubung dana RM2.6 bilion masih diteruskan.

Berita berkaitan

Akaun Najib tidak lagi dibekukan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 8:14 PM