MOHD Redzuad  (tiga dari kiri) dalam jelajah sekitar masjid di Pahang untuk mengutip dan mempromosikan dana untuk membina masjid di kampus  UMP.
MOHD Redzuad (tiga dari kiri) dalam jelajah sekitar masjid di Pahang untuk mengutip dan mempromosikan dana untuk membina masjid di kampus UMP.
Amin Ridzuan Ishak

Kuantan: Sekumpulan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) mahu membuktikan mereka juga mampu menyumbang perbelanjaan pendidikan dan pembangunan universiti tanpa mengharap sepenuhnya dana kerajaan.

Itu yang mahu dibuktikan penuntut UMP itu yang dalam proses mengumpul dana untuk membantu membina masjid di kampus utama universiti berkenaan di Kuala Pahang, Pekan menerusi konsep wakaf.

Kutipan dana dibuat Jawatankuasa Mahasiswa Bina Masjid yang mensasar untuk mengumpul dana RM1.5 juta menjelang hujung 2019 untuk disumbangkan kepada UMP bagi pembinaan masjid moden membabitkan kos RM21 juta.

Pengerusinya, Mohd Redzuad Ras Abdul Rask berkata, pihaknya kini sudah berjaya mengumpul RM200,000 yang antaranya menerusi sumbangan penuntut serta kutipan tabung di masjid sekitar negeri itu sejak tahun lalu.

“Kita akan memperhebatkan promosi dan mahu mewujudkan gelombang hebat dalam kalangan masyarakat serta syarikat korporat supaya bersama-sama menjayakan pembinaan masjid ini.

“Kita merancang menemui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memohon sokongan dan memberitahu bahawa penuntut juga mampu menyumbang kepada pendidikan serta pembangunan universiti tanpa bergantung sepenuhnya dengan dana kerajaan.

“Jika kita dapat mengumpul dana berkenaan, ia mungkin boleh menjadi contoh kepada penuntut di universiti lain untuk membantu universiti masing-masing demi kebaikan bersama,” katanya, semalam.

Mengikut perancangan, masjid UMP Pekan akan dibina di tapak seluas tiga hektar dengan kos RM21 juta dan bukan saja warga universiti awam itu mendapat manfaat, tetapi juga penduduk juga.

Masjid berkenaan dijangka mampu memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa dan antara keunikannya adalah ia menggunakan teknologi hijau untuk penjanaan serta menjimatkan sumber air serta elektrik.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuad Ras yang baru-baru ini menamatkan pengajian di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP berkata, pihaknya juga akan mencari kaedah baharu untuk memperhebatkan promosi sekali gus meningkatkan kutipan dana.

“Saya akan bertemu dengan penuntut junior yang akan menggantikan saya untuk meneruskan usaha ini dan bagi merangka pelbagai strategi baru untuk meningkatkan kutipan dana antaranya menjelajah ke masjid seluruh negeri ini.

“Kita belum habis menjelajah ke semua masjid lagi dalam kutipan sebelum ini, kita akan teruskan termasuk bertemu pemimpin seperti menteri Kabinet dan syarikat korporat bagi memohon sokongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:42 AM