YUSUF (lima dari kanan) pada majlis berbuka puasa dan sumbangan biasiswa di pekarangan Masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia.
YUSUF (lima dari kanan) pada majlis berbuka puasa dan sumbangan biasiswa di pekarangan Masjid Al Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Dalam usaha memartabatkan bidang pendidikan, syarikat pengedar kurma terkemuka, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) memberi tajaan biasiswa pendidikan bernilai RM400,000 kepada 10 penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) yang kurang berkemampuan, kelmarin.

Tajaan itu secara tidak langsung membolehkan setiap penuntut berkenaan menerima biasiswa bernilai RM40,000 untuk mengikuti pengajian penuh dalam pelbagai bidang selama empat tahun di universiti awam terbabit.

Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Datuk Seri Yusuf Taiyoob berkata, biasiswa itu akan diberikan kepada mereka yang layak mengikut kriteria ditetapkan dan dipilih oleh pihak USM untuk membolehkan mereka meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing tanpa masalah.

“Bantuan ini sebagai penyuntik semangat buat mereka untuk berjaya di menara gading, bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga dan masa depan, selain ia mampu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.

“Setiap penuntut yang mengikuti pengajian di USM atau mana-mana universiti inginkan kejayaan cemerlang dan menggenggam skrol tidak kira sama ada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

“Kita akan meneruskan program tajaan ini setiap tahun dengan memilih penuntut kurang berkemampuan untuk dibantu sebagai tanda prihatin dan ambil berat,” katanya.

Yusof berkata demikian ketika ditemui selepas program penyerahan tajaan berkenaan kepada Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Asma Ismail bersempena majlis berbuka puasa di Masjid Al-Malik Khalid, USM, di sini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Turut hadir, Pro Canselor USM Tan Sri Dr M Jegathesan dan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti USM Tan Sri Dr Zulkifli A Hassan.

Sementara itu, Zulkifli berkata, program kebajikan adalah acara tahunan diadakan di Masjid Al-Malik Khalid selain majlis berbuka puasa bersama 2,000 penuntut dan ahli kariah USM.

Katanya, ia sudah menjadi amalan masjid mengadakan majlis berbuka puasa setiap hari bersama penuntut dan majlis turut disertai beberapa sukarelawan yang hadir membantu memasak hasil sumbangan daripada warga kampus serta orang ramai.

“Usaha murni ini perlu dipupuk dan diperluaskan kepada masyarakat luar bagi menimbulkan perasaan kasih sayang serta semangat kerjasama dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

“Pihak USM turut melahirkan rasa bersyukur apabila Yusuf Taiyoob Sdn Bhd menyumbang tajaan biasiswa berjumlah RM400,000 kepada penuntut USM yang kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 7:33 AM