MAWI (dua dari kiri) bersama rakan artis.
MAWI (dua dari kiri) bersama rakan artis.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kutip derma sambil berbasikal di sekitar kawasan Parlimen Alor Gajah, Melaka antara inisiatif dilakukan lebih 10 artis yang akan menyertai program dua hari bagi mengumpul dana Tabung Bantuan Bencana Alam untuk mangsa banjir di seluruh negara pada 14 dan 15 Februari nanti.

Program dilakukan dengan kerjasama Rembulan Spa dan Mawi World Entertainment (MWE) itu disertai 40 orang bersama barisan artis termasuk Mawi, Ekin, Khai, Rosma, Enot serta Chomel yang akan berkonvoi dengan 20 motosikal berkuasa besar dan 10 kereta untuk menjelajah empat kawasan parlimen di seluruh Melaka iaitu Jasin, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Mawi berkata, program terbabit adalah usaha yang dilakukan untuk membantu mangsa banjir yang terjejas teruk khususnya di Kelantan bagi membina semula kehidupan masing-masing.

Katanya, selain sumbangan daripada orang ramai, semua artis terbabit juga akan mengadakan jualan ‘car boot’ di mana sebahagian keuntungan akan disalurkan terus ke tabung berkenaan.

“Sebelum ini saya turun ke Kelantan di kawasan terjejas pada 29 Disember hingga 1 Januari lalu untuk melihat sendiri penderitaan yang dilalui semua mangsa.

“Jadi, menerusi program ini kita akan mengumpul dana dan kutip derma secara berbasikal juga akan dilakukan dengan harapan orang ramai bermurah hati menghulurkan sumbangan.

“Semua hasil kutipan akan diserahkan kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima Berhad (MPB) dan penyerahan dijangka turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pada 15 Februari nanti,” katanya di pelancaran Program Tabung Bantuan Bencana Alam, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Rembulan Spa Rohaiza Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:53 AM