ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang menyelamat seekor anak kucing yang terperangkap dalam enjin kereta di Taman Mesra, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang menyelamat seekor anak kucing yang terperangkap dalam enjin kereta di Taman Mesra, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyelamat seekor anak kucing jantan terperangkap dalam enjin kereta jenis Peugeot di Taman Mesra, di Gua Musang, semalam.

Pegawai APM Daerah, Mohd Yussalmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu 7.08 malam apabila dimaklumkan anak kucing terperangkap dalam enjin kereta.

Beliau berkata, dua anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menyelamatkan anak kucing berkenaan dalam masa 10 minit selepas dijumpai dalam enjin kereta terbabit.

Sebelum itu katanya, pemilik kereta berkenaan terdengar bunyi anak kucing peliharaannya dalam enjin selepas menghidupkan kenderaan.

“Pemilik kereta cuba menyelamatkannya, tetapi gagal apabila anak kucing itu lari,” katanya.

Mohd Yussalmi berkata, bimbang dengan keselamatan anak kucing itu, pemilik kereta terus menghubungi APM bagi membantu menyelamatkannya.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima banyak panggilan bagi menangkap ular yang berada dalam rumah penduduk sejak kebelakangan ini.

Katanya, tidak kurang juga bagi pihaknya memusnahkan sarang tebuan dan lebah berada di rumah penduduk dan bangunan sekolah.

“Sepanjang tahun lalu sahaja, kita berjaya menangkap lebih 70 ekor ular dan memusnahkan hampir 100 sarang lebah serta tebuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 11:51 AM