Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PEMANDU treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh, hari ini, terhadap tuduhan menyebabkan kematian tiga lelaki termasuk dua beradik dalam kemalangan pada Ahad lalu.

Tertuduh, A Kumar, 31, dari Sungai Gadut, Negeri Sembilan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Beliau dituduh memandu secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan tiga kematian iaitu Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, Khasrul Ikhwan Mohd Yusof, 18, dan Chua Jyh Shyong, 37.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga melakukan kesalahan itu di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Temerloh, jam 9.30 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mariana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Yu Tang.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dia bekerja sebagai pemandu treler dengan pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan dan menanggung isteri serta ibunya.

Nordiana membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 11 Julai ini sebagai sebutan semula dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 11:23 AM
PEMANDU treler yang menyebabkan kematian tiga lelaki termasuk dua beradik dalam kemalangan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur pada 24 Jun lalu dibawa ke Mahkamah Sesyen Temerloh untuk didakwa. Foto STR/NAZIRUL ROSELAN
PEMANDU treler yang menyebabkan kematian tiga lelaki termasuk dua beradik dalam kemalangan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur pada 24 Jun lalu dibawa ke Mahkamah Sesyen Temerloh untuk didakwa. Foto STR/NAZIRUL ROSELAN