FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SELEPAS lebih tiga tahun melarikan diri, bekas pekerja ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, bagi menghadapi pertuduhan membunuh penyelianya, pada 2016.

Tertuduh, Rahmat Hasrah Abdul Razak, 25, beralamat di Pasir Mas, Kelantan dengan tenang mengaku memahami pertuduhan terhadapnya, yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh yang memakai seluar pendek dan baju-T putih, didakwa membunuh Zakaria Tahir, 57, pada 2.30 petang, 7 Oktober 2016 di dapur rumah di sebuah kebun di Batu 16, Kampung Sri Fajar, di Kuantan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditahan pada 12 Disember lalu, di sempadan Malaysia-Thailand dan dia dipercayai melarikan diri ke negara jiran itu, selepas kejadian.

Nordiana menetapkan 28 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula, bagi mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 2:15 PM