KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan itu.
KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan itu.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA beradik antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Mentakab, dekat Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa yang maut adalah Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, dan adiknya, Khasrul Ikhwan, 18.

Turut maut adalah pemandu Toyota Hilux, Chua Jyh Shyong, 37.

Ketua Polis daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod berkata, kedua-dua mangsa menaiki Proton Exora bersama enam lagi ahli keluarga mereka.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila treler yang membawa muatan kertas dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Treler berkenaan merempuh Proton Exora dan Toyota Hilux hingga menyebabkan tiga lelaki yang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.

"Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah menyerah diri sejurus selepas kejadian," katanya.

Bapa mangsa yang juga pemandu Proton Exora itu, Mohd Yusof Ghazali, 55, parah, manakala empat lagi anaknya iaitu Khasrul Hafiz Haqimie, 25, Khasrul Hanif Hazirin, 23, Khasrul Izwan, 18, dan Khasrul Ikram, 13, cedera.

Isteri Mohd Yusof iaitu Norizan Md Diah, 51, serta penumpang Toyota Hilux, Chee Kok Yong, 39, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan untuk memancing di Empangan Klau, Raub sebelum pulang ke rumah mereka di Sungai Penchala, Damansara, Kuala Lumpur.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Jenazah mangsa dikebumikan di Kampung Batu 4, Paya Pulai, dekat sini selepas solat Asar.

Berita berkaitan

Tiga maut dalam nahas tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 4:01 PM