Adnan Mat (tiga dari kiri) bersama pemimpin kesatuan guru pada  Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan  Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) Kali ke-20 di sini, hari ini. FOTO  ROSELAN AB MALEK
Adnan Mat (tiga dari kiri) bersama pemimpin kesatuan guru pada Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) Kali ke-20 di sini, hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kajian semula dibuat terhadap larangan guru berjawatan dan guru Gred 48 ke atas untuk memegang jawatan dalam kesatuan guru tanah air.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya menyarankan kerajaan meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 kerana tidak membenarkan mereka yang menduduki gred DG48 ke atas memegang jawatan dalam kesatuan guru.

"Isu guru DG48 ke atas tidak dibenarkan memegang jawatan adalah isu lama yang tidak ditangani kerajaan sejak 1959, sedangkan akta lama lain sudah dipinda, tetapi tidak Akta Kesatuan Sekerja 1959 ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan (PPDT) Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) kali ke-20, di sini, hari ini.

Adnan berkata, kesatuan guru adalah pembela profesion perguruan dan sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan guru serta perkara lain yang berkaitan.

Katanya, pihaknya turut membantu guru-guru memahami peranan mereka dalam memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara (FPN) serta berusaha untuk meningkatkan imej dan martabat profesionalisme guru.

"Kita maklum ada akta-akta yang mengikat penjawat awam untuk bergerak aktif di bawah kesatuan sekerja, oleh itu perlu ada pengubahsuaian oleh pihak kerajaan dengan membenarkan guru-guru terus bergerak aktif dalam kesatuan," katanya.

Katanya, guru adalah pendidik dan tidak terbabit dengan dasar, sebaliknya mereka adalah pelaksana dasar yang diterapkan oleh pihak atasan.

"Cuepacs berharap tiada sebarang sekatan terhadap guru untuk menyertai kesatuan kerana mereka akan terus naik pangkat dan gred dalam perkhidmatan dan terus menerus menjadi guru.

"Saya sedia maklum kesatuan guru sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dalam pendidikan untuk menambah baik sesuatu dasar yang hendak dilaksanakan demi kebaikan semua.

"Tidak dinafikan kesatuan guru dan guru turut bekerjasama dengan KPM dalam membangunkan modal insan selain membentuk insan ke arah kemenjadian muridnya serta turut berkorban demi bangsa dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:39 PM