Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Johor akan mengkaji kesesuaian pindaan waktu pembelajaran Kelas Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Negeri daripada Sabtu kepada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kajian itu perlu dilakukan berikutan pelajar kelas darjah khas adalah pelajar yang sama berada di tingkatan satu sekolah menengah selain ada yang tinggal asrama.

"Jika kelas darjah khas ditukar pada Khamis, ia juga dibimbangi akan menimbulkan masalah ketiadaan guru.

"Ini kerana pada Khamis, terdapat guru-guru kelas darjah khas turut mengajar pada sesi pembelajaran dan pengajaran harian di Sekolah Agama Kerajaan Johor.

"Bagaimanapun, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyambut baik pandangan yang diutarakan ibu bapa dan akan membuat kajian kebolehlaksanaan pindaan waktu pembelajaran kelas darjah khas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah berkata, JAINJ kini dalam usaha menambah baik skim perjawatan guru-guru sekolah agama kerajaan Johor dengan menimbal guna sistem kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) yang diguna pakai di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Katanya, sistem itu membolehkan guru agama gred DG29 hanya memerlukan lapan tahun sahaja untuk kenaikan ke DG32 berbanding 10 tahun sebelum ini.

"Skim itu juga membolehkan guru-guru agama terus berkhidmat di Sekolah Agama Kerajaan Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:53 PM