MUHYIDDIN (kanan) pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
MUHYIDDIN (kanan) pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Rizanizam Abdul Hamid dan Fazrik Kamarudin


MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Jawatankuasa dan pasukan khas berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menyelaraskan siasatan berkaitan 1MDB.

Beliau berkata, ia termasuk merangka langkah yang wajar diambil termasuk sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan ditahan dan didakwa.

“Perkara itu belum lagi (tahan atau dakwa Datuk Seri Najib), saya serahkan perkara itu sepenuhnya kepada jawatankuasa dan pasukan yang sudah dilantik.

“Mereka diberikan kuasa bagi menentukan langkah yang wajar diambil dari segi undang-undang berkaitan siasatan skandal membabitkan 1MDB, SRC dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman antara lima anggota Jawatankuasa berkaitan 1MDB yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan bagi melihat masalah membabitkan 1MDB.

Selain, Abu Talib, jawatankuasa itu turut dianggotai Nik Shahrizal Sulaiman dari Pricewaterhouse Coopers (PWC) Malaysia dan Syed Naqiz Shahbuddin Syed Abdul Jabar dari Naqiz & Partners.

Dua lagi anggotanya adalah Penasihat Kanan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia, Faris Rabidin dan Pengasas Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel.

Sementara pada 21 Mei lalu, pasukan khas

yang ditugaskan menyiasat secara terperinci kes 1MDB ditubuhkan dan diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Pasukan Khas Siasatan 1MDB itu akan membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 12:19 PM