Abu Talib  tiba di Menara Ilham.
Abu Talib tiba di Menara Ilham.
Rohaniza Idris dan Meor Riduwan Meor Ahmad dan Sofiyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi jaminan siasatan kes itu dibuat secara adil dan teliti.

Pengerusinya yang juga bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, siasatan juga dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur sedia ada.

“Kita pastikan pasukan penyiasat berlaku adil terhadap semua pihak.

“Ini selari dengan apa disuarakan Perdana Menteri siasatan perlu mematuhi undang-undang sedia ada dan telus,” katanya ditemui media di Menara Ilham di sini, semalam.

Abu Talib menjelaskan Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang ditubuhkan semalam akan melaporkan perkembangan siasatan itu kepada jawatankuasa yang diketuai beliau.

Mengulas lanjut perbincangan semalam, beliau berkata, tumpuan adalah bagi menyiasat skandal 1MDB skandal untuk mendapatkan semula wang negara.

Ditanya sama ada mesyuarat membincangkan secara khusus mengenai kertas pertuduhan yang pernah disediakan bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak, katanya ia tidak dibincangkan.

“Kami hanya membincangkan mengenai siasatan dan akan menyiasat secara adil serta teliti mengikut amalan dan prosedur undang-undang yang diterima pakai,” katanya enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih di peringkat awal.

Jawatankuasa Siasatan 1MDB yang diketuai Abu Talib Othman turut dianggotai Rakan PwC Risk Assurance Services Nik Shahrizal Sulaiman, Rakan Kanan Naqiz Partners Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar, Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia Faris Rabidin dan Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kroni Cynthia Gabriel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:12 AM