Bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed tiba di Menara Ilham. FOTO Eizairi Shamsudin
Bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed tiba di Menara Ilham. FOTO Eizairi Shamsudin
Rohaniza Idris dan Meor Riduwan Meor Ahmad dan Sofyan Rizal Ishak


PASUKAN Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Jawatankuasa Siasatan 1MDB dipercayai mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur, hari ini, bagaimanapun tidak dapat dipastikan butiran pertemuan berkenaan.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilihat memasuki Menara Ilham kira-kira 2 petang.

Lima minit kemudian bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed tiba di lobi utama diikuti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Abdul Gani, Abu Kassim dan Mohd Shukri dilantik menganggotai Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat pelaburan itu.

Seorang lagi anggota Pasukan Khas Siasatan itu ialah bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Abdul Hamid Bador, tidak kelihatan.

Kira-kira 15 minit kemudian bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jumaat lalu, tiba dipercayai untuk pertemuan berkenaan.

Kemudian disusuli dua lagi anggota jawatankuasa berkenaan iaitu Rakan PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman dan Rakan Kanan Naqiz & Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar.

Semalam, Abu Talib dilaporkan berkata Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam peringkat menentukan terma dan syarat berkaitan siasatan yang bakal dijalankan.

Pejabat Perdana Menteri hari ini bersetuju untuk membentuk satu Pasukan Khas Siasatan 1MDB bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

Berita berkaitan

Kerajaan tubuh pasukan khas siasat kes 1MDB

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 3:35 PM