PASUKAN paramedik memeriksa mayat mangsa yang ditemui lemas di kawasan zon perlindungan sumber air alternatif Saujana Putra, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
PASUKAN paramedik memeriksa mayat mangsa yang ditemui lemas di kawasan zon perlindungan sumber air alternatif Saujana Putra, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lelaki mandi bagi menyejukkan badannya bertukar tragedi apabila lemas selepas tenggelam di kawasan zon perlindungan sumber air alternatif Saujana Putra, Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, mangsa S Prakash Kumar, 38, ditemui lemas berhampiran lokasi terakhir dia dilihat.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.42 petang.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota termasuk skuad penyelam bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang dan BBP Shah Alam dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan mahu mandi untuk menyejukkan badan.

“Dia bagaimanapun dilihat tenggelam sejurus masuk ke dalam kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Alimaddia berkata, mangsa ditemui berhampiran lokasi terakhir dia dilihat oleh skuad penyelam pada 4.49 petang.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 8:49 PM