Zatul Iffah Zolkiply


RAHSIA janda yang sering membawa lelaki termasuk bekas suami dan teman lelakinya ke rumahnya di Kijal, Kemaman terbongkar selepas diserbu penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pada Khamis lalu.

Serbuan dilakukan penguatkuasa JHEAT kira-kira 11 malam selepas menerima maklumat awam mengenai tindak tanduk wanita berusia 37 tahun dan bekerja sendiri yang dikatakan sering membawa lelaki masuk ke rumahnya tanpa mengira waktu.

Menurut sumber, dalam serbuan terbabit, wanita itu ditahan bersama seorang lelaki yang juga bekas suaminya berusia 34 tahun dan tiga anak mereka berusia antara enam hingga lapan tahun.

Katanya, hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan sudah bercerai sejak lima tahun lalu.

"Bukan itu sahaja, wanita terbabit turut mengaku sering membawa teman lelakinya masuk ke dalam rumahnya dan merayu agar tidak memaklumkan hal itu kepada bekas suaminya dengan alasan mahu berkahwin semula dengan lelaki terbabit.

"Bagaimanapun, ketika penguatkuasa JHEAT mengambil keterangan mereka untuk dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat, wanita terbabit mengaku tidak mahu berkahwin dengan bekas suaminya.

"Wanita terbabit mendakwa hubungan mereka tidak direstui keluarga bekas suaminya yang kini bekerja di Kedah dan lelaki terbabit hanya datang ke rumah sekali sekala sahaja untuk melawat dia dan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan pasangan terbabit dengan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 6:29 PM