KECEDERAAN dialami salah seorang anggota JHEAT ketika operasi Ops Judi di Kampung Gong Tok Nasek
KECEDERAAN dialami salah seorang anggota JHEAT ketika operasi Ops Judi di Kampung Gong Tok Nasek
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Helah seorang lelaki menjadikan kedai menjual aksesori telefon bimbit miliknya sebagai lokasi menjual nombor ekor terbongkar selepas premis di Kampung Gong Tok Nasek di sini, diserbu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), jam 5 petang kelmarin.

Pada serbuan itu, empat lelaki berusia 30 tahun hingga 40 tahun turut ditahan ketika membeli nombor ekor.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasa Syariah JHEAT Nik Zulhaiza Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam.

“Sebaik tiba di premis, kami dapati sekumpulan lelaki sedang membeli nombor ekor sementara sebahagian lagi dipercayai baru selesai membelinya.

“Kumpulan terbabit terus melarikan diri malah ada yang berkasar terhadap anggota penguat kuasa semata-mata mahu mengelak daripada ditahan. Ia menyebabkan seorang daripada 18 penguat kuasa cedera,” katanya.

Empat individu yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berjudi.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:35 PM