GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob


KOPERAL polis maut selepas motosikal ditunggangi dilanggar sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Dato Onn, Kuala Lumpur, pada 2 pagi tadi.

Mangsa Johari Abdullah, 58, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika dihubungi berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Selayang ke pusat bandar.

Katanya, sebaik tiba di Bulatan Dato Onn, tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki terbabas lalu memasuki laluan mangsa.

“Kereta berkenaan terus melanggar mangsa dari arah hadapan menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan. Akibat kecederaan dialami, mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pihak polis akan memohon reman ke atas pemandu kereta, 32, bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 6:56 PM