KEADAAN kereta dipandu seorang lelaki yang hampir terputus dua selepas merempuh sebatang pokok dalam kemalangan kendiri di Jalan Tanjung Kidurong malam tadi. FOTO Erika Georg
KEADAAN kereta dipandu seorang lelaki yang hampir terputus dua selepas merempuh sebatang pokok dalam kemalangan kendiri di Jalan Tanjung Kidurong malam tadi. FOTO Erika Georg
Erika George


Bintulu: Lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok besar di Jalan Tanjung Kidurong, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian pada 8.55 malam, mangsa Jostine Endy Anak Minggu, 22, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu Perodua Bezza dipercayai dari Tanjung Kidurong menuju ke pusat bandar.

"Apabila sampai di laluan lurus di hadapan Kelab Kidurong Bintulu, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh pokok besar tepi jalan.

"Mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi akibat parah di bahagian kepala," katanya.

DIfahamkan, rempuhan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa remuk teruk.

Sementara itu, beliau berkata, lelaki lelaki warga India turut maut apabila Nissan Navara dipandunya terbabas lalu merempuh tiang elektrik di Jalan Tun Hussein Onn, di sini, pada 1.36 awal pagi tadi.

Menurutnya, mangsa Kathirvannan Ravichandra, 27, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi bedah siasat.

"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 3:55 PM