ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang wanita ditemui maut selepas kereta dipandunya terhumban ke dalam parit dengan kedalaman dua meter di Bulatan Jalan Kebun ke arah Sentosa, pagi tadi.

Wanita itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas, terbalik dan masuk ke dalam parit dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kemalangan maut di Bulatan Jalan Kebun membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri, kira-kira jam 4.05 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita itu dari arah bulatan Jalan Kebun menghala ke Sentosa.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sehingga masuk ke dalam parit.

"Mangsa yang berumur 41 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsul Amar berkata, siasatan juga mendapati permukaan jalan di lokasi ketika kejadian adalah kering.

"Jalan di lokasi adalah lurus dua lorong dengan pemisah jalan, berhampiran bulatan, gelap berlampu," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi berkata pihaknya yang dihubungi polis mengenai kejadian mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati mangsa tersepit di bahagian hadapan tempat duduk pemandu dan segera bertindak mengeluarkan mangsa.

"Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:06 PM