MOHD Adnan menunjukkan laluan ditutup sementara sambutan Hari Kebangsaan 2016.
MOHD Adnan menunjukkan laluan ditutup sementara sambutan Hari Kebangsaan 2016.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Lapan belas laluan di sekitar ibu negara akan ditutup secara peringkat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 bermula 27 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Superintendan Mohd Adnan Basri berkata, semua laluan itu akan ditutup bermula jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

““Laluan ditutup adalah Jalan Travers/Jalan Damansara (Muzium Negara), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara), Jalan Mahameru/Jalan Damansara (susur Muzium Negara), Bulatan Hishamuddin/Jalan Lembah (Masjid Negara), Jalan Perdana/Jalan Lembah, Jalan Kinabalu/Bulatan Hishamuddin (Dayabumi), Jalan Kinabalu/Jalan Hishamuddin (susur Bukit Aman), Jalan Lembah/Jalan Cenderasari dan Lebuh Pasar Besar.

“Lokasi lain membabitkan Lebuh Ampang/Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi/Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kuching/Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kinabalu/Bulatan Dato’ Onn, Jalan Tunku Abdul Rahman/Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Hishamuddin/Jalan Raja, Jalan Parlime/Bulatan Dato’ Onn, Bulatan Dato’ Onn/Jalan Raja (Kelab Diraja Selangor) dan Jalan Mahkamah Persekutuan,” katanya di Balai Polis Trafik Tun HS Lee di sini, semalam.

Beliau berkata, bermula hari ini hingga 26 Ogos, latihan padang akan dijalankan daripada jam 8 pagi hingga 1 tengah hari namun penutupan jalan hanya membabitkan Jalan Raja di Dataran Merdeka saja.

“Sepanjang tempoh penutupan, orang ramai dinasihati menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam. Pada 31 Ogos, semua peserta yang terbabit dengan sambutan diminta sampai sebelum jam 6 pagi,” katanya.

Mohd Adnan berkata, hanya kenderaan petugas yang memiliki pelekat kenderaan saja dibenarkan masuk ke kawasan Dataran Merdeka dengan melalui Bulatan Dato’ Onn-Jalan Gereja.

“Bagi pergerakan pulang peserta perbarisan, bas akan menggunakan laluan Bulatan Dato’ Onn-Jalan Kuching-Jalan Sultan Ismail-Jalan Tuanku Abdul Rahman-Jalan Esfahan sebelum mengambil penumpang di Jalan Raja Laut.

“Orang ramai diminta mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan polis bertugas. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak meletak kenderaan di tepi jalan terutama di laluan yang terbabit dengan acara sambutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:18 AM