ANTARA peserta program Hafal al-Quran Tiga Bulan yang menggunakan teknik hafalan An-Nur.
ANTARA peserta program Hafal al-Quran Tiga Bulan yang menggunakan teknik hafalan An-Nur.
PESERTA program Hafal al-Quran Tiga Bulan yang menggunakan teknik hafalan An-Nur  anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia.
PESERTA program Hafal al-Quran Tiga Bulan yang menggunakan teknik hafalan An-Nur anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) kini dalam proses membina sebuah kompleks yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi penyebaran ilmu al-Quran di Tronoh, Perak.

Pengerusi YDKMM Mohd Syafiq Zainal berkata, pusat pengajian ilmu al-Quran dikenali sebagai Kompleks Tahfiz Integrasi An Nur itu dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan kemampuan menerima lebih 1,000 pelajar pada satu-satu masa.

Beliau berkata, pembinaan kompleks itu bertujuan untuk menghimpunkan penghafaz al-Quran dari seluruh negara selain menarik lebih ramai remaja dan belia Islam mendalami ilmu al-Quran.

Menurutnya, kompleks dijangka menelan belanja sehingga RM10 juta itu akan dilengkapi dewan orang ramai, kelas pengajian, asrama, ruang perniagaan dan pejabat.

Mohd Syafiq berkata, kemudahan lain bakal disediakan di kompleks itu adalah pusat penjagaan untuk orang tua, sekali gus memudahkan warga emas berminat mempelajari ilmu al-Quran.

“Kami juga menerima pelajar dari luar negara dan tidak terhad kepada masyarakat tempatan saja, kerana kami menyokong mana-mana individu berminat mendalami ilmu al-Quran sekali gus bergelar hafiz dan hafizah.

“Sekarang kami giat mengumpul dana dalam kalangan ahli YDKMM, selain melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan pembinaan kompleks berkenaan disiapkan dalam tempoh sudah ditetapkan,” katanya.

Selain itu beliau, turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk membiayai kos pembinaan kompleks berkenaan seterusnya melahirkan lebih ramai lagi belia Islam mempunyai pengetahuan tinggi mengenai al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 9:08 AM