ASILAH.
ASILAH.
ULANG KAJI bersama rakan.
ULANG KAJI bersama rakan.
ASILAH dinilai bacaan al-Quran oleh guru kelasnya, Ustazah Munirah.
ASILAH dinilai bacaan al-Quran oleh guru kelasnya, Ustazah Munirah.
ASILAH (kiri) membaca al-Quran di surau, Maahad Tahfiz Al-Azhari.
ASILAH (kiri) membaca al-Quran di surau, Maahad Tahfiz Al-Azhari.
Siti Nadzirah Che Mud


Bicaranya lembut dan sopan, sepadan dengan wajahnya yang tenang serta sejuk mata memandang. Ketika berbicara, ungkapan syukur tidak pernah lekang dari bibirnya.

Walau diuji dengan kehilangan kasih sayang seorang ayah ketika berusia 10 tahun, Asilah Zubir, 16, tidak pernah menyalahkan takdir.

Baginya, biarpun Allah SWT menarik orang kesayangannya, dia digantikan dengan sesuatu yang lebih istimewa iaitu kebolehan menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya 15 bulan.

Ia pencapaian yang mengagumkan kerana kebiasaannya seorang pelajar mengambil masa antara tiga hingga enam tahun untuk bergelar hafiz atau hafizah.

Asilah bersyukur dengan keistimewaan itu dan menganggapnya sebagai berkat kesungguhannya untuk menyempurnakan hasrat arwah bapa Zubir Mohamad yang meninggal dunia enam tahun lalu kerana sakit dalam perut.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu yang menuntut di Maahad Tahfiz Al-Azhari (MTAZ) di Machang, Kelantan, berkata:

“Alhamdulillah atas kurniaan ingatan yang kuat ini untuk membolehkan saya menghafal ayat suci. Saya sangat bersyukur kerana sudah menyempurnakan hasrat ayah yang mahu anak bergelar hafizah.

“Ini cita-cita arwah ayah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Saya sudah diasuh sejak kecil untuk tujuan itu ketika masih belajar di sekolah rendah dan menyambung pengajian di Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsul Maarif, Pulai Chondong, Machang.

“Ketika di SMA, saya sudah menghafaz tiga juzuk al-Quran. Saya beritahu keluarga untuk serius dalam hafazan sebelum dihantar belajar di MTAZ pada tahun lalu.

“Selain cita-cita ayah, apa yang saya lakukan juga kerana keinginan saya sendiri yang lahir secara ikhlas kerana Allah SWT,” katanya ketika ditemui di MTAZ, baru-baru ini.

Anak kelahiran Kampung Setol 5, Machang, ini berkata, sebelum mula menghafaz, dia kerap mendengar ceramah agama dan diceritakan mengenai kelebihan umat Islam yang menghafal al-Quran.

Antara yang paling diingatinya ialah penceritaan mengenai darjat seorang hafiz dan hafizah yang dipandang mulia di sisi Allah SWT dan mendapat perlindungan-Nya.

“Terdetik dalam hati saya untuk menjadi seorang daripada umat itu dan saya bulatkan tekad untuk mula menghafal. Saya pastikan pemakanan dijaga selain adab lain untuk memudahkan saya mengingati ayat suci.

“Peluang menyelamatkan ahli keluarga daripada api neraka juga membuatkan saya teruja untuk menghafaz al-Quran.

“Sebelum ke MTAZ, kakak (Asfarina Zubir, 24,) yang bekerja sebagai pegawai bank menjadi seorang penaja di maahad itu sejak 2014. Dia menaja pengajian seorang pelajar yang memerlukan bantuan.

“Apabila saya mendaftar pengajian di situ, kakak menaja saya pula sehingga hari ini. Dia bukan seorang hafizah dan tak bersekolah di maahad itu, namun bermurah hati menyumbang sesuatu untuk pendidikan insan yang memerlukan.

“Lagipun, kami bukan lahir daripada keluarga senang. Sejak ayah meninggal, ibu (Kamariah Ali, 54,) hanya menoreh getah untuk menyara keluarga. Jadi kami dapat menyelami penderitaan golongan kurang berkemampuan,” katanya bercita-cita menjadi pensyarah.

Asilah berkata, untuk menjadi hafizah memerlukan disiplin tinggi kerana menghafal setiap ayat suci bukanlah mudah. Ia perlu disusuli kesungguhan, keikhlasan hati bersama tanggungjawab besar.

Remaja itu juga tiada petua khusus, sebaliknya berpegang kepada reda Allah SWT dan berdoa untuk ibu bapa sebelum memulakan hafazan.

“Saya juga akan berselawat dan membaca ayat 35 Surah an-Nur dan akan mengulang tiga juzuk setiap hari.

“Alhamdulillah, amalan itu berhasil dan saya sangat bersyukur kerana dihantar menuntut ilmu di sekolah aliran agama. Insya-Allah ilmu ini membawa ke syurga,” katanya yang mengakui menemui ketenangan setiap kali membaca al-Quran.

Katanya, kitab suci itu memberi manfaat tidak ternilai kepada umat Islam, malah dia terasa seolah-olah sedang berkomunikasi dengan Allah SWT lebih-lebih lagi memahami setiap bait ayatnya.

Sehubungan itu, Asilah menasihati anak muda supaya mendekatkan diri dengan al-Quran dan membacanya setiap hari kerana syafaat itu akan menjadi penolong di alam barzakh serta akhirat kelak.

Pelajar miskin, yatim ditaja syarikat korporat, individu

Maahad Tahfiz Al-Azhari (MTAZ) di Kampung Pangkal Chuit, Machang, Kelantan, ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2011.

Sebelum itu, ia dikenali sebagai Kompleks Ilmu Al-Azhari (KIAZ) dan diasaskan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani untuk kelas tahfiz separuh masa pada tahun 2008.

Berikutan mendapat sambutan dan sokongan penduduk setempat, MTAZ dibangunkan secara sempurna untuk pengajian tahfiz sepenuh masa hasil dana sumbangan dermawan.

Berpegang kepada konsep ‘Bersama Membina Generasi al Quran’, pelajar institusi itu yang kebanyakannya anak yatim dan miskin dilatih dan dibimbing secara berterusan hingga mampu menghafaz al-Quran.

MTAZ ditadbir mudir Muhammad Shariff Md Azhari mempunyai 100 pelajar dan 13 tenaga pengajar berpengalaman dan menyediakan kemudahan pembelajaran dan kediaman untuk pelajar.

Sumber kewangan utama diperoleh menerusi yuran pengajian pelajar yang ditaja dermawan termasuk sumbangan syarikat korporat dan orang awam.

Pegawai Pentadbiran MTAZ Mastura Zawani Ramli berkata, pihaknya hanya berhasrat melahirkan generasi bijak al-Quran, sekali gus boleh menyebarkan ilmu itu ke seluruh pelosok dunia.

Katanya, keutamaan MTAZ ialah mahu membantu pelajar miskin dan anak yatim menjadi huffaz yang akan menerajui kepemimpinan Islam pada masa akan datang.

“Selain diterapkan de­ngan pembelajaran al-Quran, pengajian kitab, tauhid, dan fiqh, pembelajaran untuk Sijil Pengajian Malaysia (SPM) turut diajar supaya selari dengan akademik.

“Bagaimanapun, penghafalan al-Quran menjadi misi utama pusat ini yang mahu melahirkan huffaz dalam kalangan Muslim muda,” katanya.

Menurutnya, sistem pengajaran dan pembelajaran di MTAZ dijalankan secara intensif dengan pelajar akan bangun seawal jam 4.30 pagi untuk solat sunat tahajud sebelum hafazan bermula.

“Matlamat kami ialah setiap pelajar perlu menghafaz sekurang-kurangnya 10 juzuk setahun,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shariff berkata, pihaknya kini giat menyiapkan pembinaan Masjid Al-Azhari dengan kos RM1 juta bagi menggantikan masjid lama untuk kegunaan pelajar serta penduduk sekitar.

Katanya, dermawan dan mereka yang mahu menyumbang untuk pembinaan masjid itu atau mahu menaja pelajar MTAZ boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi pejabatnya di talian 09-9765661 atau laman web http://matancentre.com/cawangan/mtaz-machang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 12:53 PM