Nur Ain Sufiya berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran pada Julai lalu. (Gambar kanan) Nur Ain Sufiya bersama keluarganya. Foto Ihsan Nur Ain Sufiya
Nur Ain Sufiya berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran pada Julai lalu. (Gambar kanan) Nur Ain Sufiya bersama keluarganya. Foto Ihsan Nur Ain Sufiya
Redzuan Muharam

Georgetown: Walaupun berdepan kekangan mengikuti kelas mengaji al-Quran secara bersemuka akibat pandemik Covid-19 yang belum reda, penuntut Asasi Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor, Nur Ain Sufiya tetap berupaya merealisasikan impiannya bergelar seorang hafizah.

Nur Ain Sufiya Muzammil, 18, yang menetap di Bayan Baru di sini, berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran pada Julai lalu dengan berusaha mendapatkan bimbingan tenaga pengajar secara dalam talian.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia pernah menghafaz 20 juzuk Al-Quran ketika berusia 15 tahun dan tekad mendaftar di sebuah pusat bimbingan al-Quran di Perak bagi merealisasikan hasratnya menghafaz baki 10 juzuk untuk melengkapkan hafazannya.

"Sudah lama sebenarnya saya menyimpan keinginan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan baru tahun ini hasratnya itu tercapai.

"Banyak sebab yang mendorong saya melakukannya, satu daripada nya kerana pernah menghafaz 20 juzuk sebelum ini dan berasa rugi jika tidak melengkapn hafazan 30 juzuk al-Quran.

"Saya ambil keputusan daftar di sebuah pusat bimbingan al-Quran pada Mei lalu dan bersyukur kerana dapat menyelesaikan hafazan baki 10 juzuk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Walaupun ada asas mengaji dan bahasa Arab, Nur Ain Sufiya mengakui tidak mudah untuknya menyempurnakan misi menghafaz 30 juzuk al-Quran itu.

Bagaimanapun, Nur Ain Sufiya cuba mempraktikkan satu teknik menghafaz iaitu dengan menghafaz lima baris ayat pada satu masa diikuti yang berikutnya.

"Pertama sekali, saya akan baca dulu ayat ingin dihafaz dan kemudianya cuba hafaz lima baris ayat itu diikuti lima baris seterusnya sehingga dapat mengingati 15 baris ayat dalam satu muka surat.

"Kiranya, saya tidak hafaz semuanya serentak tetapi gabungkan setiap lima baris ayat dihafaz dan kaedah itu memang berhasil," katanya yang pertama kali khatam al-Quran ketika berusia 12 tahun dan pernah mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Kedah dalam pertandingan hafazan al-Quran.

Menurut Nur Ain Sufiya, sekalipun sudah menghafaz al-Quran, dia akan terus mengaji dan mengulang hafazan bagi mengelakkan apa diingatinya sebelum ini hilang begitu saja.

"Misi saya untuk menghafaz al-Quran selesai namun tanggungjawab kini adalah terus mengaji dan mengulang hafazan.

"Penting untuk terus mengamalkan apa dihafaz kerana itu matlamat sebenar saya.

"Kepada mereka di luar sana yang ada impian bergelar hafiz dan hafizah diharap jangan berputus asa, tolak ketepi kesukaran dialami sekarang dengan sentiasa fikirkan manfaat serta ganjaran daripada amalan itu," katanya yang bercita-cita menyertai tilawah al-Quran dan menjadikan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut sebagai inspirasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 9:30 PM