SEBAHAGIAN  sukarelawan YDKMM  bersama keluarga mualaf yang diziarahi ketika program Ziarah Kampung.
SEBAHAGIAN sukarelawan YDKMM bersama keluarga mualaf yang diziarahi ketika program Ziarah Kampung.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Melahirkan lebih ramai usahawan berjaya, seterusnya memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan antara matlamat utama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), sekali gus memastikan belia Islam di negara ini cenderung terbabit aktiviti sosial.

Malah, YDKMM yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu melahirkan ratusan usahawan yang terdiri daripada pelajar universiti demi memastikan mereka tidak lagi bergantung kepada ‘makan gaji’ dalam menjana pendapatan.

Pengerusinya, Mohd Syafiq Zainal berkata, setakat ini YDKMM ada 50 syarikat berdaftar yang menjalankan perniagaan merangkumi pelancongan, percetakan, pembekal, pengedaran makanan halal dan kedai makan.

Beliau berkata, setiap ahli YDKMM yang rata-ratanya berusia 20 hingga 30-an diajar dan dibimbing supaya mampu menjalankan perniagaan dengan jaya menerusi bantuan individu berpengalaman.

“Setakat ini kami ada 2,000 ahli berdaftar dengan 400 daripada mereka aktif dalam pelbagai bidang perniagaan.

“Sebanyak 10 peratus daripada keuntungan setiap syarikat itu didermakan kepada golongan memerlukan seperti ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim dan mualaf,” katanya.

Mohd Syafiq berkata, ahli YDKMM juga aktif dalam aktiviti masyarakat, malah mereka sebenarnya wajib menyertai program sedemikian.

“Ahli YDKMM aktif di beberapa negara lain seperti Mesir, Indonesia dan New Zealand dengan kebanyakan mereka komited menyebarkan Islam kepada penduduk setempat.

“Selain itu, ahli di negara ini pula merangka pelbagai aktiviti terutama membabitkan masyarakat Orang Asli di pedalaman supaya nasib mereka lebih terbela.

“Kami tidak mahu ahli YDKMM hanya tertumpu kepada bidang usahawan semata-mata, namun kebajikan kepada masyarakat dipinggirkan kerana perkara berkenaan boleh menyebabkan belia lebih mementingkan diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menganjurkan program cintai al-Quran dengan melaksanakan inisiatif bagi memastikan hafiz dan hafizah mampu menghafalnya dalam masa singkat.

PESERTA  YDKMM mengikuti  aktiviti  tadabbur  al-Quran   sempena sambutan World Quran Hour yang diadakan serentak di seluruh negara di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.
PESERTA YDKMM mengikuti aktiviti tadabbur al-Quran sempena sambutan World Quran Hour yang diadakan serentak di seluruh negara di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

“Kami melaksanakan inisiatif khusus kepada kanak-kanak supaya mereka mampu menghafal al-Quran dalam tempoh tiga bulan saja menerusi bimbingan ustaz berpengalaman,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dalam usaha membina kompleks tahfiz di Tronoh, Perak sebagai usaha menghimpunkan penghafal al-Quran dari seluruh negara, sekali gus menarik minat lebih ramai golongan belia menjadikannya sebagai sumber rujukan utama dalam membentuk sahsiah diri.

Katanya, Kompleks Tahfiz Intergrasi An Nur itu dijangka siap pada 2021 dan boleh menempatkan lebih 1,000 hafiz dan hafizah dalam satu masa.

“Pembinaan yang menelan belanja lebih RM10 juta itu turut dilengkapi dewan orang ramai, kelas pengajian, asrama, ruang perniagaan dan pejabat.

“Kompleks terbabit juga memiliki pusat penjagaan orang tua, sekali gus memudahkan warga emas belajar al-Quran tanpa masalah dan mereka dipantau kakitangan kompleks,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 4:53 AM