Najib diwawancara oleh Azmi dan Sivamurugan malam ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Najib diwawancara oleh Azmi dan Sivamurugan malam ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Che Wan Badrul Alias; Hidir Reduan; Nor Ain Mohamed Radhi dan Luqman Arif Abdul Karim

RAKYAT jangan ‘termakan’ momokan bahawa gerakan mengubah tampuk pemerintahan kerajaan pasti membawa kebaikan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, gambaran sedemikian yang sering ‘disajikan’ kepada golongan muda mungkin meleset berpandukan pergolakan yang dialami beberapa negara di seluruh dunia.

“Ini sentimen, tetapi kita tidak boleh anggap perubahan itu semestinya bawa kebaikan, contohnya Arab Spring yang menyaksikan gerakan kononnya menukar kerajaan diktator.

“Situasi sama dapat kita saksikan di Mesir, Tunisia, Libya, Syria, Iraq dan Afghanistan. Negara ini hancur lebur.

“Orang muda dimomokkan mengenai gerakan untuk mengubah kerajaan tapi tidak tahu ke arah mana. Kalau nak ubah, perlu ke arah lebih baik,” katanya dalam temu bual program Mandat di Studio Sri Pentas dan disiarkan secara langsung di TV3, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), Tan Sri Ismee Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan MPB; Datuk Kamal Khalid; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Jalil Abdul Hamid dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Program temu bual yang julung kali diadakan itu menampilkan moderator pakar Geostrategis, Azmi Hassan dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Najib berkata, sentimen ‘tukar kerajaan menyuburkan kadar pembangunan’ seperti dicerminkan di Amerika Syarikat itu perlu dilihat menerusi sisi berbeza.

Katanya, kerajaan mengemukakan agenda transformasi bagi menggarap pembangunan lebih rancak dan baik untuk masa depan negara, berbanding pembangkang yang asyik menabur fitnah serta janji kosong.

“Sebab itu kita merencana Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memacu hala tuju Malaysia ke suatu masa depan yang lebih dinamik, tanpa perlunya perubahan tampuk kepemimpinan negaram” kata beliau.

Bakal mempertahankan kerusi Pekan untuk penggal ke-10 sejak 1976, Najib menyifatkan, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah pertembungan Barisan Nasional (BN) dengan ditunjangi UMNO dan pakatan pembangkang yang rapuh.

Beliau berkata, percaturan pembahagian kerusi menyaksikan DAP adalah ‘kepala’ pakatan pembangkang walaupun kenyataan itu sering dinafikan bagi mengaburi pengundi Melayu.

“Ideologi mereka sangat berbeza, tapi hakikatnya gabungan berkenaan dikepalai DAP yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak ditandingi pada PRU-14, khususnya di kawasan bandar.

“Selain itu, kita lihat gelagat mereka, misalnya Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) yang mengumumkan dua ‘orang kanannya’, termasuk Nga Kor Ming (calon DAP bagi Teluk Intan) jadi menteri.

“DAP belum ada kuasa mutlak tetapi sudah umum, sekali gus membuktikan bahawa parti berkenaan yang menguasai pembangkang,” katanya.

Najib berkata, peranan calon PKR bagi Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pula adalah sekadar kuda tunggangan untuk merealisasikan motif politik DAP yang ketika ini semakin jelas di kaca mata rakyat.

Pengerusi BN itu berkata, realiti berkenaan dibuktikan di siri pentas ceramah kendalian pimpinan utama DAP, termasuk calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, P Ramasamy dan Nga.

“Ramasamy sendiri menerusi ceramah terbuka kata mereka tidak lupa apa Dr Mahathir lakukan sebelum ini, tapi hanya nak gunakannya untuk tarik undi Melayu.

“Nga pula memecah tembelang DAP bahawa fungsi Tun M adalah untuk selesaikan kerja, iaitu tumbangkan BN, malah sanggup menghina pemimpin veteran berkenaan membabitkan soal nyawa beliau,” katanya.

Mengakhiri bual bicara, Najib memberi gambaran bahawa BN semakin ‘digemari’ di Kelantan, sekali gus menyaksikan peluang untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Serambi Makkah itu daripada PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 12:07 AM