Najib bersama Ramli (kiri) beramah mesra dengan warga emas yang juga pengundi paling tua di Cameron Highlands, Omar Idris, 89, ketika berkempen di Kampung Raja, Cameron Highlands. FOTO Aizuddin Saad
Najib bersama Ramli (kiri) beramah mesra dengan warga emas yang juga pengundi paling tua di Cameron Highlands, Omar Idris, 89, ketika berkempen di Kampung Raja, Cameron Highlands. FOTO Aizuddin Saad
Wartawan NSTP


DATUK Seri Najib Razak dengan sinis mencabar pengundi DAP memilih calon Orang Asli sekiranya mereka benar-benar sayangkan masyarakat itu.

Bekas Perdana Menteri berkata, DAP perlu mengotakan kata-kata mereka yang mendakwa kasihkan Orang Asli dengan memilih Ramli Mohd Noor yang juga calon masyarakat berkenaan.

“Ahli Parlimen Orang Asli pertama jika calon Barisan Nasional (BN) menang.

“Takkan lah DAP tak sokong. Kata sayang Orang Asli,” kata beliau melalui status terkini laman sosial Facebook peribadinya hari ini.

Terdahulu di Cameron Highland, Najib berkata, BN perlu bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands bagi memastikan semua projek yang sudah dilaksanakan dan dirancang sebelum ini dapat diteruskan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata terdapat banyak projek sambungan yang sudah dilaksanakan BN sebelum ini masih ada dan patut diteruskan.

“Yang keduanya isu yang berlaku di Cameron Highlands banyak membabitkan isu dan soal tanah yang diutamakan dan itu (urusan berkaitan tanah) adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan negeri boleh menimbangkan apa yang patut untuk memberikan kemudahan, rezeki dan ekonomi kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kempen bersama penduduk di Kampung Raja bersama calon BN, Ramli Mohd Noor serta menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengah Hari di Masjid Kampung Raja di Cameron Highlands, hari ini.

Mengulas berkenaan lawatannya, Najib berkata, kehadirannya ke Cameron Highlands adalah bagi membantu calon berkempen.

“Saya baru tiba di Cameron Highlands untuk bantu calon BN dan masih terlalu awal untuk saya membuat apa-apa penilaian, tapi apa yang saya dapat tinjau setakat ini, apa yang saya dapat daripada reaksi masyarakat tempatan, mereka cukup senang hati dengan calon BN.

“Beliau anak tempatan, ramai saudara mara beliau di sini serta seorang seorang pemimpin dan tokoh yang mewakili masyarakat Orang Asli yang bakal mencipta sejarah (menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama) dan inilah yang saya harapkan bahawa Ramli akan muncul sebagai lambang kebanggaan masyarakat Orang Asli Cameron Highlands.

“Pada keseluruhannya, beliau mempunyai kebolehan, ketokohan, latar belakang yang baik, kalau kita cinta kepada orang tempatan yang boleh kita ketengahkan di Parlimen maka beliau adalah calon paling tepat dan paling sesuai,” katanya.

Najib tahu sentimen masyarakat di Cameron Highlands terhadap bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein serta kepada kerajaan BN masih lagi kuat secara keseluruhannya.

Namun katanya, pada setiap pilihan raya, BN tidak boleh pandang ringan kerana PH ketika ini adalah kerajaan yang memerintah dan mereka mempunyai sumber kewangan yang lebih kuat dan banyak berbanding BN.

Najib dalam pada itu turut berseloroh bertanyakan di mana letaknya kaunter tuntutan bayaran minyak kenderaan milik PH kepada pemberita berikutan tular pemberian wang tambang minyak kenderaan oleh PH.

“Saya pun nak tanya di mana kaunter claim (tuntutan) minyak, di mana saya nak tahu saya nak cari-carilah juga dalam sehari dua ni kalau saya datang nak tuntut duit tambang daripada PH mungkin,” katanya secara berseloroh.

.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:39 PM