PEMANDANGAN Bandaraya Kuala Lumpur. FOTO hiasan Arkib NSTP
PEMANDANGAN Bandaraya Kuala Lumpur. FOTO hiasan Arkib NSTP
BERNAMA

KEMAMPUAN kerajaan dalam membiayai hutang negara, gaji penjawat awam serta projek pembangunan mega, bukti bahawa Malaysia bukan negara bakal bankrap, kata veteran DAP Dr Tan Seng Giaw.

Penyandang kerusi Parlimen Kepong selama lapan penggal itu, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berjaya dilaksanakan di bawah urus tadbir kerajaan semasa, sama sekali bukan satu hasil yang gagal.

“Kita mesti tengok secara menyeluruh. Sekiranya (kerajaan) mampu memastikan pentadbiran (negara) itu wujud dengan berkesan, itu bukan bankrap.

“Apa yang dimaksudkan dengan bankrap adalah, apabila kerajaan gagal dalam semua ini (kemampuan membiaya), di mana lebih satu juta kakitangan kerajaan tidak dibayar gaji, hutang negara tidak dapat dibayar," katanya selepas menghadiri temu bual khas program Ruang Bicara, Bernama News Channel, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga tetamu dalam program berkenaan berkata, penilaian yang baik daripada agensi penarafan antarabangsa terkemuka seperti Fitch, Moody's dan Standard & Poor’s turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan bankrap.

Penarafan A yang diberi kepada Malaysia adalah hasil kajian ke atas ekonomi negara yang dilihat mampu membayar hutangnya, gaji penjawat awam dan penerima pencen.

“Banyak lagi negara lain di rantau ini diberi penarafan, B hingga D. Jika negara B (yang tahap penarafannya lebih rendah daripada A) tidak bankrap, bagaimana pula negara A seperti Malaysia, boleh bankrap?,” tegas beliau.

Mohd Irwan berkata, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengukuh kepada US$110 bilion pada 13 April 2018, kadar pengangguran yang rendah, serta peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi negara dan kemasukan pelaburan langsung asing ke Malaysia pada tahun lalu menjadi bukti bahawa Malaysia bukan negara yang gagal.

Beliau menambah Malaysia juga berupaya mengendalikan pendapatan defisit yang berjaya dikurangkan kepada tiga peratus pada akhir tahun kewangan 2017, berbanding 6.7 peratus sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pucuk pimpinan pada 2009.

Kini, kerajaan menuju kepada pengurangan defisit sehingga 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 9:41 PM