JUMLAH diisytiharkan muflis paling tinggi pada 2018 dengan angka 16,482 individu bankrap.
JUMLAH diisytiharkan muflis paling tinggi pada 2018 dengan angka 16,482 individu bankrap.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Momentum ekonomi global yang agak perlahan sejak beberapa tahun lalu terutama pada dua tahun kebelakangan ini akibat Covid-19 memerlukan masa yang panjang untuk kembali pulih sepenuhnya.

Malaysia tidak terkecuali terkena tempias itu apabila seramai 46,132 individu yang ditadbir Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) diisytiharkan muflis sejak 2018 sehingga Mei lalu.

Setakat Mei lalu, MDI sudah mentadbir sebanyak 274,628 kes muflis.

Golongan ini memerlukan tempoh masa lebih panjang untuk bangkit mengukuhkan semula kerjaya dan pendapatan yang terjejas.

Antara implikasi mereka yang diisytiharkan muflis adalah tidak boleh meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah, menjalankan perniagaan, memegang jawatan sebagai penjawat awam selain hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Berdasarkan data MDI, jumlah individu muflis bagi tahun ini sehingga Mei lalu adalah 2,694 kes.

Dari tempoh lima tahun, jumlah diisytiharkan muflis paling tinggi pada 2018 dengan angka 16,482 individu bankrap.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, individu berusia 35 hingga 44 tahun antara paling ramai diisytiharkan muflis dengan 996 orang diikuti mereka yang berusia 45 hingga 55 tahun seramai 806 orang.

"Namun tidak terkecuali dengan golongan yang dianggap baru 'mula hidup' apabila lima individu sudah diisytiharkan muflis walaupun berusia 18 hingga 25 tahun," katanya menerusi laman webnya, baru-baru ini.

Golongan warga emas atau mereka yang memasuki fasa persaraan juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan muflis apabila 503 orang direkodkan antara Januari hingga Mei lalu.

Berdasarkan data yang didedahkan untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini, pinjaman peribadi antara punca utama individu di Malaysia diisytiharkan muflis dengan 1,268 orang diikuti pinjaman perniagaan (547 orang), pinjaman perumahan (259 orang), sewa beli kenderaan (212 orang), hutang kad kredit (121 orang) dan keberhutangan lain (92 orang).

Selain itu, punca lain adalah hutang cukai pendapatan (72 orang), penjamin korporat (67 orang), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (52 orang) dan hutang biasiswa atau pinjaman pendidikan (empat orang).

Tiga negeri yang merekodkan jumlah individu tertinggi diisytiharkan muflis ialah Selangor dengan 11,443 orang diikuti Kuala Lumpur (5,032 orang) dan Johor (4,277 orang) bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu.

Lelaki menjadi golongan yang paling ramai diisytiharkan muflis dengan 33,653 orang manakala wanita seramai 12,457 orang sejak 2018 sehingga Mei lalu.

Muflis berlaku disebabkan pelbagai punca yang bukan sahaja disebabkan faktor luaran seperti ekonomi dan kerjaya malah faktor kendiri seperti perbelanjaan melebihi pendapatan yang boleh mendorong seseorang individu diisytiharkan bankrap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 12:00 PM