Dr Mahathir bersama Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Lim selepas mensyuarat Kabinet baru-baru ini.
Dr Mahathir bersama Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Lim selepas mensyuarat Kabinet baru-baru ini.
BERNAMA

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan bawah pendedahannya berkaitan skandal kewangan 1MDB serta skandal lain adalah arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut menjelaskan tidak mempunyai kuasa untuk memberi arahan kepada menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku kerana ia terletak dalam bidang kuasanya.

Tegasnya, kementeriannya akan terus membongkar semua skandal kewangan dalam tempoh 100 hari seperti yang diarahkan Dr Mahathir.

“Kita harus berani kerana benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diwawancara Astro Awani hari ini menegur supaya Lim menyerahkan tanggungjawab membongkar segala salah laku dan penyelewengan kerajaan terdahulu kepada menteri atau agensi lain.

Anwar berkata, Lim perlu mengimbangi antara mendedahkan skandal dan memupuk keyakinan dalam kalangan pelabur.

Menurutnya, pemimpin DAP itu juga mesti lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan kerana pelabur akan menggunakannya sebagai rujukan.

Lim berkata, rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara selain tidak mahu kerajaan menyorok atau menyembunyikannya lagi.

Menurutnya, perkara tersebut turut dipersetujui Anwar semasa sesi perjumpaan mereka.

“Saya telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dan memberi penerangan kepada beliau mengenai keadaan ekonomi negara dan juga skandal kewangan yang meningkatkan bebanan hutang.

“Keadaan fiskal Kerajaan Persekutuan terjejas kerana hutang yang melebihi RM1 trilion seperti mana yang didedahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran skandal 1MDB dan perbelanjaan boros sebelum ini,” katanya.

Lim berkata, Anwar juga terkejut dengan impak negatif berhubung penyelewengan kewangan oleh kerajaan lama dalam memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu sehingga tidak boleh diakses oleh Ketua Audit Negara.

“Ini telahpun diterangkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa semua pendedahan skandal 1MDB dan juga skandal lain di dalam media dibuat atas arahan perdana menteri. Beliau faham mengenai perkara ini.” katanya.

Dalam masa yang sama, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menghargai input yang diberikan Anwar dan mengalu-alukan semua pandangan ataupun maklum balas daripada rakyat bagaimana untuk menyelamatkan ekonomi negara.

“Semua pandangan akan diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Katanya, Kementerian Kewangan juga telah menggariskan rancangan alternatif untuk menangani beban hutang RM1 trilion menerusi penangguhan projek dan penjimatan perbelanjaan kewangan.

“Langkah perbelanjaan berhemah ini diambil tanpa menjejaskan defisit bajet yang terus kekal sebanyak 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Katanya, kerajaan juga berjaya menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan dan memberikan Bantuan Sara Hidup (dulunya dikenali sebagai BR1M) tanpa menyebabkan Malaysia menjadi bankrap.

“Saya juga telah bertemu dengan pelbagai pelabur serta pengurus dana dari dalam dan luar negara untuk menerangkan dasar kewangan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 9:08 PM