Kota Kinabalu: Keadaan ekonomi semasa negara masih berada pada landasan yang betul dan Malaysia tidak akan bankrap, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata spekulasi Malaysia bakal bankrap ekoran kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak dunia itu tidak benar, sebaliknya ekonomi semasa negara masih berkembang kukuh.

“Kejatuhan ini adalah satu fenomena global yang turut dirasai di beberapa negara lain termasuk Russia dan Brazil susulan pengukuhan nilai mata wang dolar AS. Negara lain yang bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi pasti akan terjejas.

“Malah, jika kita melihat negara seperti Russia yang berasaskan minyak, menghadapi keadaan lebih teruk berbanding Malaysia. Begitu juga yang berlaku di Brazil, Australia dan New Zealand,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada Persidangan Meningkatkan Perpaduan dan Integrasi Negara, di sini semalam.

Persidangan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersama Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Irwan berkata, krisis ekonomi yang dihadapi negara ketika ini bukan sahaja disebabkan kejatuhan ekonomi antarabangsa, tetapi juga ‘political noise’ di Malaysia.

“Political noise’ yang tidak perlu di Malaysia ini yang sepatutnya boleh dikawal dan ini sedikit sebanyak mengganggu ekonomi semasa negara,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara, kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif dan berharap dapat diatasi dalam tempoh beberapa bulan ini, sekali gus meningkatkan kestabilan ekonomi Malaysia.

“Bajet 2016 akan diumumkan pada 23 Oktober, lebih banyak strategi dan langkah akan diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 6:27 AM