GOLONGAN muda dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan pintar. FOTO Arkib NSTP
GOLONGAN muda dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan pintar. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Seramai 10,302 individu membabitkan golongan muda berusia 25 hingga 35 tahun diisytiharkan bankrap bagi tempoh lima tahun akibat pelbagai faktor terutamanya pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan dan pinjaman perniagaan.

Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) menunjukkan jumlah kes kebankrapan bagi tempoh 2018 hingga Disember lalu adalah 49,133 manakala kes terkumpul sehingga tempoh sama adalah 269,654 kes.

Rekod jabatan itu juga menunjukkan faktor terbesar adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24 peratus daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan.

Selain itu, pinjaman sewa beli kenderaan menyumbang 7,072 kes iaitu 14.39 peratus diikuti oleh pinjaman perniagaan dengan rekod 6,936 kes mewakili 14.12 peratus keseluruhan.

Melihat kepada golongan umur, individu berusia antara 35 hingga 44 tahun paling tinggi diisytiharkan bankrap dengan jumlah kes sebanyak 18,454, diikuti oleh golongan umur 45 hingga 54 tahun sebanyak 12,752 kes dan golongan muda iaitu 25 hingga 34 tahun (10,302 kes).

Statistik MDI juga memperlihatkan golongan lelaki paling ramai dikenakan tindakan berkenaan iaitu berjumlah 35,856 individu iaitu mewakili 72.98 peratus daripada 2018 hingga 2022.

Kebanyakan kes bankrap ini membabitkan jumlah ambang keberhutangan antara RM100,000 hingga RM499,999 dengan jumlah 5,453 kes untuk dua tahun iaitu 2021 dan tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPIM) Mohd Afiq Salim berkata, masalah kelemahan pengurusan kewangan dalam kalangan anak muda adalah punca kepada masalah ini.

Menurutnya, mereka juga sering hanyut dalam mengejar gaya hidup sehingga tidak melakukan pemerhatian sewajarnya tentang perbelanjaan bulanan.

"Akibatnya, mereka terjerat dengan masalah yang mereka sendiri cipta, sekali gus menjadi beban hutang yang terlampau tinggi.

"Golongan muda ini kebanyakannya melihat kepada kesenangan bersifat sementara atau jangka pendek, mereka ambil pinjaman dengan kadar yang banyak sedangkan mereka akan menghadapi masalah untuk membayar komitmen bulanan.

"Selain itu, mereka juga sangat terikut-ikut dengan gaya hidup pada masa kini seperti sering bertukar-tukar telefon pintar, membeli kereta import dengan nilai komitmen bulanan yang tinggi," katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada golongan muda supaya sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan pintar.

Katanya, masalah bankrap ini bukan isu kecil malah ia memberi kesan yang besar dalam jangka panjang dan wujud segelintir syarikat yang tidak akan menerima pekerja di dalam status bankrap.

Kini tanggung hutang tiga bank bernilai RM100,000

"Dua pinjaman peribadi dengan jumlah komitmen RM1,500, wang ansuran kereta hampir RM1,000 dengan kehidupan di ibukota, akhirnya duit saya tinggal sekitar RM500 hingga RM600 saja setiap bulan selepas ditolak semua keperluan."

Itu keluhan seorang lelaki berusian lewat 30-an yang terjerat dengan pinjaman peribadi serta dorongan hidup mewah sehingga dia tidak lagi mampu untuk menanggung komitmen bulanan.

Menceritakan lanjut, lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Syazli berkata, pembayaran komitmen bulanannya sudah melebihi pendapatan bulanan dan kini berdepan dengan kes bankrap.

Menurutnya, pendapatan kasar bulanannya adalah sekitar RM4,000 sebulan namun selepas membayar segala komitmen, wang belanja yang tinggal tidak seberapa.

"Sekarang saya mempunyai tiga akaun pinjaman peribadi dengan jumlah terkumpul kira-kira RM100,000.

"Akhirnya, saya terpaksa membayar pinjaman secara bergilir iaitu bulan lalu untuk bank A, bulan akan datang untuk bank B dan seterusnya sehingga tidak lagi mampu membayar komitmen bulanan ini.

"Boleh kata setiap hari saya akan dihubungi oleh institusi perbankan, ejen pengutip hutang dan juga notis mahkamah, tahun lalu saya terima notis kebankrapan.

"Ketika itu saya tidak tahu nak buat apa dan kini masih dalam proses rundingan untuk komitmen pembayaran menerusi Jabatan Insolvensi," katanya.

Seorang lagi yang tergoda dengan penawaran pinjaman peribadi, Nurul, 30, menyatakan bahawa dia terjerat dengan keinginan gemar bertukar gajet serta membuat pembiayaan peribadi selain kaedah 'beli dulu bayar kemudian'.

Walaupun Nurul masih belum diisytiharkan sebagai muflis, namun dia menyatakan sangat terbeban dengan hutang dengan amaun sekitar RM2,600 sebulan.

"Saya akui memang menjadi kegilaan saya suka bertukar gajet seperti telefon pintar dan peranti lain.

"Kini, saya dalam proses rundingan dengan pihak perbankan untuk membayar secara konsisten dalam satu amaun yang saya mampu setiap bulan," katanya.

Cuepacs cadang tempoh bayaran pembiayaan dipanjangkan

Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) diminta meneliti had tempoh bayaran pinjaman supaya dapat dipanjangkan, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengelakkan masalah muflis.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu wajar dilaksanakan bagi membolehkan jumlah bayaran balik pinjaman lebih rendah, sekali gus membantu rakyat yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca-Covid-19.

Katanya, ia termasuk bayaran pembiayaan peribadi untuk dipanjangkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun dan bayaran semula pinjaman yang rendah ini membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan.

"Secara keseluruhannya, langkah ini dijangka merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat bertambah dan dapat mengurangkan tekanan hidup.

"Lebih penting, ia mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan menstruktur semula kewangan mereka.

"Pada masa sama, operasi perniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM boleh berkembang semula," katanya pada kenyataan, semalam.

Adnan berkata, Cuepacs mengambil maklum laporan media berkaitan 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir Jabatan Insolvensi sejak 2018.

Ia mencatatkan, hutang pinjaman peribadi serta sewa beli kenderaan antara faktor utama yang menyebabkan rakyat negara ini jatuh bankrap sejak lima tahun lalu.

Katanya, rekod kebankrapan dalam kalangan pekerja di sektor awam dilihat tidak begitu membimbangkan iaitu kira-kira 9.06 peratus atau 4,449 orang.

"Ini kerana, pendedahan terhadap pengurusan kewangan baik yang diterapkan perkhidmatan awam ke atas anggotanya secara berterusan sudah meningkatkan kesedaran penjawat awam dalam menguruskan kewangan supaya tidak terjerat dalam kancah hutang.

"Bagaimanapun, Cuepacs melahirkan sedikit kebimbangan keperluan rakyat ketika ini yang terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan disebabkan gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu, ramai rakyat Malaysia dilihat terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk menampung keperluan yang mendesak tetapi tempoh pembiayaan yang singkat iaitu maksimum 10 tahun menyebabkan ansuran bulanan menjadi tinggi sehingga menyebabkan pendapatan boleh guna peminjam itu terjejas.

Adnan berkata, justeru, langkah memanjangkan tempoh pembiayaan juga membolehkan mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi untuk berniaga juga tidak begitu bimbang untuk melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan pinjaman itu akan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

"Rakyat yang terjejas pendapatan juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang termampu.

"Penstrukturan semula pinjaman boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku," katanya.

Adnan berkata, pada 2013, BNM mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi daripada 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan daripada 45 tahun kepada 35 tahun dan langkah berkenaan mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam menjadi lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 7:30 AM