ROSSAZLIN dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Paya Garuk. FOTO Roselan Ab Malek.
ROSSAZLIN dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Paya Garuk. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


SEORANG remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Paya Garuk, Jerantut, sejak Sabtu lalu.

Abang remaja itu, Mohamad Rosli Roslan, 27, berkata, adiknya, Rossazlin, 18, keluar dari rumah pada 3 petang dan memaklumkan ingin ke surau berhampiran bagi membantu persiapan kenduri doa selamat sempena kedatangan Ramadan.

“Sebelum keluar, Rossazlin ada beritahu seorang lagi adik, Rosmadiyana, 16, bahawa dia nak ke surau sebab ibu dan ayah kami pun ada di situ (surau). Kebetulan hari sama, surau ada buat jamuan kenduri menyambut Ramadan.

“Kehilangan Rossazlin hanya disedari selepas ibu, Wan Noraini Wan Nor dan ayah, Roslan Abdul Razak, 53, pulang ke rumah untuk menunaikan solat Asar.

“Ketika itu mereka tanya mana adik (Rossazlin) pergi, kami cakap dia ke surau dan ketika itu baru kami sedar dia tidak ada di sana (surau),” katanya.

Menurutnya, Rossazlin, tidak pernah keluar rumah seorang diri kerana mengalami masalah kesihatan dan bergantung kepada ubat-ubatan dibekalkan pihak hospital.

Mohamad Rosli berkata, mereka sudah cuba menghubungi Rossazlin beberapa kali, termasuk menggunakan aplikasi WhatsApp, namun tidak mendapat jawapan, malah nombor telefon semua ahli keluarga disekat.

“Saya rasa ada orang yang dikenali melarikan Rossazlin dan disebabkan itulah, dia tidak menjawab panggilan kami.

“Laporan polis mengenai kehilangan Rossazlin yang juga anak keempat daripada lima beradik juga sudah dibuat.

“Kami minta kerjasama orang ramai untuk menghubungi saya di talian 011-2636 5730 jika ternampak adik saya, atau hubungi mana-mana balai polis terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 2:24 PM