KETUA Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tiga dari kiri) bersama Rozana  (dua dari kiri) dan calon BN Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan (tiga dari kanan)  di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kemuning, Kuala Langat. FOTO/FAIZ ANUAR
KETUA Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tiga dari kiri) bersama Rozana (dua dari kiri) dan calon BN Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan (tiga dari kanan) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kemuning, Kuala Langat. FOTO/FAIZ ANUAR
Norrasyidah Arshad


KETUA Wanita UMNO Kuala Langat, Rozana Kamarulzaman yang dipilih menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib teruja menghadapi saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), minggu hadapan.

Katanya, pemilihan dirinya untuk DUN itu dianggap satu kelainan berikutan sebelum ini kerusi terbabit hanya menampilkan calon lelaki sahaja.

“Saya yakin 15,000 pengundi wanita di DUN ini akan mengundi saya pada PRU-14 nanti.

“Rata-rata golongan wanita yang ditemui teruja apabila saya mengatakan saya akan mewakili mereka,” katanya.

Rozana berkata, walaupun pencabarnya adalah lelaki iaitu Hasnul Baharuddin (PKR) dan Dr Mohd Sallehuddin Hafiz (PAS), beliau tidak gentar malah semangat juangnya lebih tinggi.

Katanya, saingan politik tidak menjurus kepada faktor fizikal, tetapi membabitkan strategi kepemimpinan.

“Pertandingan tiga penjuru tidak boleh dipandang remeh walaupun dari segi matematik, BN mempunyai kelebihan.

“Ketika ini, saya fokuskan kepada kempen turun padang dan berjumpa seramai mana pengundi sehingga 9 Mei depan,” katanya.

Kerusi Morib sebelum ini dimenangi Hasnul yang ketika itu bertanding atas tiket PAS mengalahkan bekas ADUN Morib, Hasiman Sidom.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 7:07 PM