CHUA (tiga dari kiri)  bertemu  penduduk ketika berkunjung ke  kedai kopi di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama, semalam.
CHUA (tiga dari kiri) bertemu penduduk ketika berkunjung ke kedai kopi di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama, semalam.
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Memasuki hari keenam berkempen, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Chua Hock Kuan kini sudah menjejaki keseluruhan kawasan berkenaan untuk bertemu pengundi.

Malah, anak kelahiran Wakaf Bharu yang juga satu-satunya calon MCA itu sehingga kini sudah menemui hampir keseluruhan 28,000 pengundi di DUN berkenaan bagi meraih undi dalam usaha memenangkan kerusi itu.

Sikapnya yang rendah diri setiap kali bertemu penduduk, selain perwatakan kelakar dan fasih bercakap loghat Kelantan menyebabkan Chua mudah didekati penduduk.

Selama satu jam mengikuti kempen calon berkenaan di sekitar Kampung Dusun Muda dan kedai kopi, kehadiran Chua diterima penduduk walaupun calon berkenaan berlainan bangsa.

Tidak hairanlah ada penduduk yang memberi maklum balas secara spontan, calon muda seperti Chua yang diperlukan penduduk kampung tidak kira dia Cina atau Melayu, janji boleh jaga rakyat.

Chua berkata, pendekatan kempen diambil dengan turun padang bertemu pengundi sama ada dari rumah ke rumah atau ke kedai kopi yang menjadi tumpuan penduduk.

“Seawal jam 6.30 pagi, saya sudah mula keluar rumah untuk bersarapan bersama penduduk di kedai yang berbeza, sebelum hadir ke program lain sehingga lewat malam. Begitulah rutin saya setiap hari dan waktu tidur saya hanya tiga jam saja.

“Setiap kali berceramah atau bertemu penduduk, saya lebih suka bercerita kepada mereka apa kebaikan BN dan usaha yang akan dibuat sekiranya diberi peluang, bukannya memburukkan calon lain.

“Saya lebih memilih kepada kempen sihat iaitu tidak bercerita keburukan orang lain, sebaliknya fokus kepada kemajuan dan kebaikan yang dibawa BN,” katanya.

Chua berkata, sudah hampir tiga tahun dia turun padang bagi merapatkan hubungan dengan penduduk, bukannya selepas proses pengumuman atau penamaan calon dibuat.

“Jadi, penduduk sudah kenal saya lama dan kehadiran saya di DUN Kota Lama bukan sesuatu yang pelik. Disebabkan itu mereka menerima kehadiran saya dengan baik sekali,” katanya.

Beliau berkata, 10 tawaran yang dijanjikan kepada penduduk DUN Kota Lama jika beliau memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti termasuk menyediakan tempat rekreasi dan mempertingkatkan keselesaan tempat tinggal golongan berpendapatan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:30 AM