KEADAAN pacuan empat roda dinaiki mangsa.
KEADAAN pacuan empat roda dinaiki mangsa.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan melanggar tebing di Kilometer 149.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), dekat Maran, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, mangsa, Mohamad Azmi Jamil, 35, dari Banting, Selangor dan rakannya K Gunsselan, 34, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Norzamrie Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas mengambil bahan letupan kuari dari sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Mohamad Azmi yang memandu kenderaan itu dipercayai mengantuk hingga menyebabkan pacuan empat roda itu hilang kawalan sebelum terbabas ke tebing jalan dan berpusing beberapa kali.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, orang ramai yang cuba membantu mangsa menjadi panik apabila mendapati kenderaan berkenaan membawa muatan bahan letupan kuari.

Bagaimanapun, anggota bomba dari Balai Bomba Maran mengesahkan bahan letupan berkenaan tidak aktif dan jalan berkenaan sudah dibersihkan.

Nozamrie berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikuti Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 4:21 PM